ARMIZAN meninjau perairan sempadan Malaysia-Thailand dengan menaiki bot Polis Marin Pengkalan Kubor di Sungai Golok. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ARMIZAN meninjau perairan sempadan Malaysia-Thailand dengan menaiki bot Polis Marin Pengkalan Kubor di Sungai Golok. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nor Fazlina Abdul Rahim


Tumpat: Pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di Semenanjung Malaysia dijangka dilaksanakan tahun ini kata, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali.

Katanya, perkara itu akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak lama lagi.

"Kita jangkakan Perdana Menteri akan mengumumkan tidak lama lagi, pelaksanaan subsidi diesel bersasar itu Insya-Allah dilaksanakan tahun ini.

"Namun suka saya nyatakan, kerajaan bukan menghapuskan subsidi, sebaliknya mensasarkan subsidi berkenaan kepada mereka yang layak.

"Pada masa sama, dengan pelaksanaan subsidi bersasar itu, penyeludupan membabitkan diesel akan berkurangan memandangkan harga di Malaysia dan Thailand tidak jauh berbeza, berbanding sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan di sempadan di Sungai Golok, di sini, hari ini. Yang turut hadir, Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail.

Jelasnya, dari pihak KPDN, mereka sudah melakukan persiapan sejak awal lagi selepas perkara itu diumumkan dalam Belanjawan tahun lalu.

Katanya, dari segi sistem dan integrasi data, pihaknya sudah bersedia selain sudah melakukan projek rintis sebelum pelaksanaan penyasaran diesel bermula.

Media sebelum ini melaporkan, kabinet bersetuju untuk melaksanakan penyasaran subsidi bahan api bermula dengan diesel membabitkan pengguna di Semenanjung Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, dengan usaha penyasaran subsidi diesel ini, jumlah penjimatan kepada kerajaan adalah dijangka (secara kasar) sekitar RM4 bilion setahun.

Katanya, sebagai permulaan, penyasaran subsidi diesel hanya akan melibatkan pengguna di Semenanjung Malaysia sahaja dan tidak membabitkan Sabah, Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Jun 2024 @ 2:33 PM