GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Kerajaan dicadang untuk melakukan sebuah projek rintis terlebih dulu sebelum melaksanakan penyasaran subsidi bahan api diesel sepenuhnya membabitkan pengguna di Semenanjung Malaysia.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam Selangor (CASSA), Datuk Seri Dr Jacob George berkata, pihaknya menyarankan agar projek rintis itu dilakukan selama enam bulan oleh kerajaan.

Katanya, projek rintis itu diperlukan bagi melihat impak atau kesan daripada pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api diesel ini seperti kenaikan harga barang yang ditanggung oleh pengguna.

"Kita boleh buat enam bulan projek rintis agar impak dan kesan seperti kenaikan harga barang diketahui sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya.

"Perkara ini perlu kerana selalunya saya nampak 'hero-hero' kita akan mengeluarkan kenyataan syok sendiri dan selepas itu, kerajaan membuat pusingan U sebab ada banyak masalah.

"Sebelum buat pusingan U, lebih baik kita buat projek rintis selama enam bulan dan lihat maklum balasnya. Selepas itu, kita tubuhkan satu petugas khas bagi menilai, memantau dan turun padang berbincang dengan golongan terbabit dengan isu ini, "katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menyatakan kabinet bersetuju untuk melaksanakan penyasaran subsidi bahan api bermula dengan diesel membabitkan pengguna di Semenanjung Malaysia.

Anwar berkata, dengan usaha penyasaran subsidi diesel ini, jumlah penjimatan kepada kerajaan dijangka sekitar RM4 bilion setahun.

Katanya, sebagai permulaan, penyasaran subsidi diesel hanya akan melibatkan pengguna di Semenanjung Malaysia saja dan tidak membabitkan pengguna Sabah dan Sarawak.

Mengulas lanjut, Jacob berkata, selepas penubuhan pasukan petugas khas itu, satu penambahbaikan diperlukan sekiranya pelaksanaannya mempunyai kelemahan daripada sesebuah aspek.

Katanya, perkara ini perlu, bagi mengelakkan semua pihak berasa malu dan pusingan U dilakukan.

"Jika ada kelemahan, kita tambah baik. Manakala yang tak ada kelemahan atau orang terima, kita teruskan," katanya.

Selain itu katanya, kerajaan juga perlu memantau perbelanjaan dan tindakan yang dilakukan selepas ini akibat daripada pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api diesel.

"Bila kerajaan tarik balik subsidi, tapi masih lagi berbelanja dengan projek besar dan (berlakunya) rasuah, ini akan membuatkan orang ramai 'panas' dan marah.

"Jadi, kita nak tengok perbelanjaan (kerajaan juga) macam mana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2024 @ 4:01 PM