Armizan Mohd Ali (tengah) pada sidang media selepas Sesi Penyerahan Fleet Card Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 di Kawasan Rehat & Rawat Klang Utara, Lebuhraya Grand Sepadu, Klang. FOTO FAIZ ANUAR
Armizan Mohd Ali (tengah) pada sidang media selepas Sesi Penyerahan Fleet Card Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 di Kawasan Rehat & Rawat Klang Utara, Lebuhraya Grand Sepadu, Klang. FOTO FAIZ ANUAR
Oleh Ruwaida Md Zain


Pelabuhan Klang: Kerajaan belum memutuskan penetapan tarikh pelaksanaan penyasaran subsidi diesel setakat ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sebagaimana disebutkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, secara prinsipnya, kerajaan bersetuju melaksanakan penyasaran semula subsidi diesel pada tahun ini.

"Namun selagi mana jemaah menteri belum berpuas hati dengan mekanisma penyasaran itu, termasuklah dalam sistem penentuan kumpulan sasar untuk mendapatkan bantuan sosial terbabit, maka kerajaan belum menetapkan tarikh.

"Sebaik sahaja kerajaan memperkemaskan, memperkukuhkan mekanisma kedua iaitu pemberian bantuan sosial kepada golongan sasar itu...saya fikir, barulah kerajaan membuat pengumuman daripada segi tarikh pelaksanaan.

"Kerana apa yang penting sebagaimana disebutkan Perdana Menteri, penyasaran semula subsidi disasarkan kepada mereka yang layak untuk dibantu.

"Bukan lagi bantuan subsidi diesel secara pukal yang juga dimanfaatkan oleh mereka yang tidak bersesuaian, termasuk warga asing," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Sesi Pengesahan Fleet Card Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 kepada Syarikat Pengangkutan Darat Bersama Wakil Syarikat Minyak di Kawasan Rehat dan Rawat Klang Utara, Lebuhraya Grand Sepadu, di sini, hari ini.

Armizan menjelaskan, agenda pelaksanaan berkenaan turut membabitkan pelbagai kementerian yang mana semua kementerian yang terbabit sudah bersedia.

"Ia membabitkan Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Kementerian Perladangan dan Komoditi serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop)," katanya.

Beliau berkata, KPDN akan melaksanakan beberapa pendekatan dalam usaha memastikan tiada pihak mengambil kesempatan melakukan pencatutan harga terhadap barangan kawalan selepas pelarasan semula harga diesel.

"Kita akan umum di peringkat KPDN sebaik kerajaan umum tarikh penyasaran semula subsidi diesel. Kita akan umum apa pendekatan kita dalam memastikan tiada pihak melakukan pencatutan terhadap barangan keperluan," katanya.

Sementara, katanya, sehingga semalam, 28,000 syarikat pengangkutan darat sudah mendaftar dan mendapat kelulusan dalam pelaksanaan SKDS 2.0.

Katanya, pengeluaran fleet card oleh lima syarikat minyak utama kepada syarikat-syarikat pengangkutan yang layak mencecah 90,000 sejak pengumuman oleh KPDN pada 7 Mac lalu.

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 2:27 PM