SUBSIDI diesel  RM1.4 billion yang direkodkan pada 2019 meningkat sepuluh kali ganda kepada RM14.3 billion pada tahun lalu. FOTO GHAZALI KORI
SUBSIDI diesel RM1.4 billion yang direkodkan pada 2019 meningkat sepuluh kali ganda kepada RM14.3 billion pada tahun lalu. FOTO GHAZALI KORI
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Impak rasionalisasi subsidi diesel yang berkuat kuasa baru-baru ini terhadap sektor hartanah dilihat masih terlalu awal untuk dinilai.

Ketua Perisikan Hartanah, Data dan Penyelesaian Perisian, PropertyGuru Group, Dr Lee Nai Jia berkata, kesan raisonalisasi subsidi terbabit sudah pasti ada terhadap sektor hartanah.

Namun katanya, ia masih terlalu awal untuk menentukan kesan daripada peningkatan itu melalui perspektif teori ekonomi dalam bidang hartanah.

"Menerusi data yang kami perhatikan, masih awal untuk melihat kesan yang jelas daripada peningkatan harga minyak diesel itu kerana ia mempengaruhi pelbagai faktor seperti pengangkutan dan kesesakan.

"Faktor ini sudah tentu mempengaruhi kesesuaian hidup di beberapa kawasan pembangunan kerana kos pengangkutan yang lebih tinggi boleh menyebabkan orang berpindah dan perubahan ini pasti akan mempengaruhi trend pembangunan," katanya kepada media sempena Laporan Kelestarian PropertyGuru Group secara maya, di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, apabila berkaitan dengan harga, situasinya lebih kompleks dan bergantung kepada pelbagai faktor.

Lee berkata, terdapat aspek tingkah laku yang perlu dipertimbangkan kerana orang ramai mungkin menyesuaikan diri dengan cara berbeza dan terdapat banyak faktor yang mempengaruhi bekalan.

"Oleh itu, walaupun kita boleh menjangkakan beberapa kesan ke atas pembangunan akibat kos pengangkutan yang lebih tinggi, masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan pasti mengenai trend harga.

"Ini adalah situasi yang terus berkembang yang memerlukan pemerhatian dan analisis lanjut," katanya.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dalam laporan sebelum ini berkata, subsidi diesel RM1.4 billion yang direkodkan pada 2019, meningkat sepuluh kali ganda kepada RM14.3 billion pada tahun lalu, disumbang oleh beberapa faktor.

Katanya, antara faktornya ialah peningkatan jumlah diesel bersubsidi yang digunakan daripada 6.1 bilion liter pada 2019 kepada 10.8 billion liter tahun lalu, iaitu kenaikan lebih kurang 70 peratus.

Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan penyasaran subsidi bahan api bermula dengan diesel membabitkan pengguna di Semenanjung Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dengan usaha penyasaran subsidi diesel ini, jumlah penjimatan kepada kerajaan adalah dijangka (secara kasar) sekitar RM4 bilion setahun.

Katanya, sebagai permulaan, penyasaran subsidi diesel hanya akan membabitkan pengguna di Semenanjung Malaysia dan tidak membabitkan pengguna Sabah dan Sarawak.

Kerajaan mula melaksanakan rasionalisasi subsidi diesel sejak 10 Jun lalu menjadikan harga diesel di Semenanjung daripada RM2.15 seliter kepada RM3.35.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2024 @ 9:47 AM