Armizan membantu pemandu lori, Hanusi Razali (dua dari kiri) mengisi minyak diesel semasa melakukan tinjauan pelaksanaan projek rintis Fleet Card Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 (SKDS 2.0) bagi Sektor Pengangkutan Darat (Barangan) di Stesen Minyak Petronas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Outbound hari ini. FOTO BERNAMA
Armizan membantu pemandu lori, Hanusi Razali (dua dari kiri) mengisi minyak diesel semasa melakukan tinjauan pelaksanaan projek rintis Fleet Card Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 (SKDS 2.0) bagi Sektor Pengangkutan Darat (Barangan) di Stesen Minyak Petronas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Outbound hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Sepang: Projek Rintis Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 (SKDS 2.0) bagi Sektor Pengangkutan Darat (Barangan), yang akan berjalan dalam tempoh dua bulan bermula hari ini bertujuan menyediakan mekanisme bagi penyasaran semula subsidi diesel yang dijangka dilaksana dalam suku kedua tahun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, projek rintis membabitkan enam syarikat perintis, dapat menguji keberkesanan Sistem MySubsidi Diesel dan juga sistem Fleet Card syarikat-syarikat minyak sebelum dilaksanakan kepada keseluruhan industri.

"Sebelum pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel ini yang tarikhnya akan ditentukan kelak, KPDN merintis usaha untuk menguji Sistem MySubsidi Diesel.

"Sistem MySubsidi Diesel akan diguna pakai bersama Sistem Fleet Card syarikat-syarikat minyak dalam pelaksanaan penyasaran subsidi kelak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas membuat tinjauan pelaksanaan Fleet Card Sektor Pengangkutan Darat (Barangan), di sini, hari ini.

Armizan berkata, mekanisme penggunaan Fleet Card itu antara usaha kerajaan untuk beralih daripada Sistem Analog Skid Tank kepada Fleet Card dalam memastikan subsidi secara bersasar dapat dilaksana secara bersepadu selain dapat memastikan kes ketirisan dan penyeludupan pada tahap paling minimum.

"Dapatan daripada projek rintis ini amat penting untuk memastikan kita mempunyai mekanisme yang ampuh (untuk pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel) serta untuk kami melihat keberkesanan sistem itu dan mendapatkan maklum balas daripada syarikat minyak, stesen minyak dan syarikat dari Sektor Pengangkutan Darat (Barangan) yang terlibat.

"Supaya apabila dilaksanakan secara menyeluruh pula, ia boleh berjalan dengan lancar, berkesan dan ampuh selepas mengambil kira pandangan daripada semua pihak berkepentingan yang terlibat," katanya menambah maklum balas yang diterima daripada projek rintis itu, akan dibincangkan dengan Kementerian Kewangan (MoF) sebelum dibentangkan kepada Kabinet.

Armizan berkata, KPDN bersedia membuka permohonan kepada syarikat-syarikat dari Sektor Pengangkutan Darat (Barangan) sekiranya pemantauan mendapati Projek Rintis SKDS 2.0 itu berjalan dengan baik dalam tempoh sebulan ini.

"Secara keseluruhan, sebanyak 3,792 stesen minyak terbabit dalam Projek Rintis SKDS 2.0 yang boleh digunakan oleh enam syarikat perintis bergantung kepada laluan kenderaan syarikat masing-masing di seluruh Semenanjung Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2024 @ 3:46 PM