Oleh Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan langkah kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi adalah untuk menyelamatkan negara.

Perdana Menteri berkata, beliau sedar langkah itu akan 'dihentam' habis-habisan, namun perlu dilaksanakan kerana tidak ada pilihan lain.

"Kita terpaksa ambil beberapa tindakan tidak popular untuk selamatkan negara. Siapa mahu penyasaran subsidi ini?. Kena tahu apa pun kita lakukan, kita akan dihentam habis-habisan dengan segala fitnah dan penipuan.

"Saya lihat (yang) pakai songkok, serban, jubah, tetapi tipu terus menerus, padahal kita beritahu, penyasaran subsidi semua Perdana Menteri sebelum itu sudah setuju cuma tidak ada tekad politik untuk melaksanakan kerana risikonya ada, tetapi untuk selamatkan negara, kita tidak ada pilihan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.

Turut hadir, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Kementerian Kewangan melaksanakan penyasaran subsidi diesel yang membabitkan penetapan harga runcit diesel mengikut harga pasaran, yang dilaksanakan serentak dengan bantuan bersasar untuk sektor logistik serta pengagihan bantuan tunai Budi Madani bermula hari ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan menetapkan harga runcit bahan api diesel pada RM3.35 seliter bermula pada tengah malam tadi di stesen minyak seluruh Semenanjung Malaysia.

Katanya, harga runcit bahan api diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan pula kekal pada RM2.15 seliter.

Melalui pelaksanaan penyasaran subsidi diesel, kerajaan menetapkan harga diesel kepada sektor yang layak iaitu Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 yang menggunakan kaedah fleet card bagi kenderaan logistik berkelayakan untuk membendung kesan terhadap harga barangan pengguna, ditetapkan pada harga RM2.15 seliter.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2024 @ 9:31 AM