KEADAAN kemalangan membabitkan dua motosikal berhampiran Makam Diraja Terengganu, Kubang Parit yang menyebabkan seorang remaja maut manakala seorang lagi parah. FOTO Ihsan PDRM
KEADAAN kemalangan membabitkan dua motosikal berhampiran Makam Diraja Terengganu, Kubang Parit yang menyebabkan seorang remaja maut manakala seorang lagi parah. FOTO Ihsan PDRM
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Seorang remaja maut manakala seorang lagi parah selepas motosikal ditunggangi mereka bertembung dalam kemalangan berhampiran Makam Diraja Terengganu, Kubang Parit di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7.04 malam itu, mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai makan, Amirul Amin Abdussalam, 15, maut di tempat kejadian manakala seorang lagi pelajar lelaki yang berusia 14 tahun cedera parah.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika Amirul Amin yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 dikatakan dari arah Kampung Panji menghala ke Makam Diraja Terengganu.

Beliau berkata, pelajar yang menunggang motosikal jenis Honda C70 yang datang dari arah Makam Diraja Terengganu sedang membelok ke kanan untuk menyeberang jalan.

"Siasatan awal dipercayai motosikal yang ditunggang Amirul Amin sedang bergerak terus manakala motosikal Honda C70 ditunggang pelajar itu membelok ke kanan untuk menyeberangi jalan lalu menyebabkan kedua-duanya bertembung.

"Akibat pertembungan itu, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayatnya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut.

"Penunggang Honda C70 yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala turut dibawa ke hospital sama untuk rawatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Jun 2024 @ 11:16 AM