Kemalangan motosikal yang mengorbankan dua beradik, malam tadi. FOTO ihsan PDRM
Kemalangan motosikal yang mengorbankan dua beradik, malam tadi. FOTO ihsan PDRM
Oleh Muhamaad Razis Ismail

Kuala Krai: Dua beradik berusia 15 dan 13 tahun maut selepas bertembung sesama sendiri dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di Kampung Bedal, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 11.20 malam itu, Mohamad Arif Rusyaikir Mohamad Amin, 15, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala adiknya, Mohamad Akif Rusyaiham, 13, yang membonceng motosikal rakannya meninggal dunia di Hospital Kuala Krai (HKK) pada 2.25 pagi tadi.

Muhammad Nor Shamirul Aidy Mohamad Apidin, 17 yang menunggang motosikal dibonceng Mohamad Akif parah di kepala dan dirawat di hospital sama.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai Superintendan Abdullah Roning berkata, sebelum kejadian, Mohamad Arif yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dalam perjalanan dari Kampung Kuala Nal menghala ke Kampung Bukit Sireh.

"Bagaimanapun, apabila tiba di tempat kejadian, motosikal yang ditunggang Mohamad Arif dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal yang ditunggang Muhammad Nor Shamirul.

" Kemalangan itu mengorbankan dua beradik, manakala seorang lagi parah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Ogos 2015 @ 4:02 PM