KEADAAN di lokasi kejadian. FOTO Ihsan PDRM
KEADAAN di lokasi kejadian. FOTO Ihsan PDRM
Hidayatidayu Razali


Pasir Mas: Dua lelaki maut selepas motosikal ditunggang terbabit kemalangan di Kampung Pangkal Kala, di sini, malam tadi.

Pada kejadian 10.31 malam itu, mangsa, Mohd Aizat Abdul Ghani, 22, yang bekerja sebagai mekanik dan Muhammad Amirul Hakim Abdullah, 17, yang juga pelajar tahfiz, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian, Mohd Aizat menunggang Honda C70 dari arah Gelang Mas menghala ke Bunut Susu, manakala Muhammad Amirul menunggang Yamaha Ego Solariz dari arah bertentangan.

Katanya, sebaik sampai di tempat kejadian, kedua-dua motosikal dipercayai bertembung di tengah-tengah laluan.

"Akibatnya, kedua-dua mangsa yang tidak memakai topi keledar terjatuh di tengah-tengah jalan dan parah di kepala.

"Mohd Aizat yang tinggal di Kampung Kedondong Kubang Gadong, Pasir Mas dan Muhammad Amirul beralamat di Kampung Jal Besar, Tumpat, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Beliau berkata, mayat dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 January 2022 @ 10:04 AM