Zatul Iffah Zolkiply


Marang: Pelajar Tingkatan Dua maut selepas digilis kenderaan dalam kemalangan di Kilometer 60.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di sini malam tadi.

Kejadian yang berlaku jam 9.50 malam itu menyebabkan, Muhamad Danial Hakim Azmi, 14, yang parah pada badan dan kepala meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal Honda EX5 dalam perjalanan arah Kuala Terengganu menghala ke Kuantan.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa dikatakan terlanggar pembahagi jalan dan terbabas di lorong sebelah kiri jalan.

"Kejadian itu menyebabkan mangsa terjatuh sebelum dia digilis sebuah kenderaan yang datang dari arah sama. Bagaimanapun, pemandu terbabit tidak memberhentikan kenderaannya.

"Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 12:19 PM