ISMAIL (tengah) pada Majlis Pengumuman Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia Tahun 2023. FOTO Wan Nabil Nasir
ISMAIL (tengah) pada Majlis Pengumuman Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia Tahun 2023. FOTO Wan Nabil Nasir
Noorazura Abdul Rahman


Sungai Petani: Kedah mencatatkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 terbaik dalam tempoh 13 tahun.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Ismail Othman berkata, pencapaian gred purata negeri meningkat daripada 4.98 pada 2022 kepada 4.77 pada 2023 dengan peningkatan sebanyak 0.21.

"Terdapat 29,044 calon mendaftar SPM 2023, seramai 24,528 calon hadir dan menduduki sekurang-kurangnya satu mata pelajaran manakala 766 calon tidak hadir semua mata pelajaran.

"Pencapaian SPM 2023 adalah yang terbaik dalam tempoh 13 tahun iaitu sejak tahun 2010, ini pencapaian yang amat membanggakan dan mengangkat martabat pendidikan di negeri ini," katanya pada sidang media selepas Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan SPM Tahun 2023 di

di sini, hari ini.

Ismail berkata, daripada 24,528 calon yang hadir menduduki SPM, seramai 14 calon mendapat pencapaian cemerlang dan seramai 568 calon (2.32 peratus) memperoleh keputusan cemerlang (gred A+, A, A-) dalam semua mata pelajaran berbanding 441 calon (1.81 peratus) pada 2022.

Katanya, bilangan calon yang memperoleh keputusan cemerlang menunjukkan peningkatan sebanyak 127 calon (0.51 peratus).

"Sebanyak 14 sekolah memperoleh peningkatan Gred Purata 0.80 dan ke atas (Lonjakan Saujana).

"Selain itu, sebanyak 21 sekolah mencapai Gred Purata Sekolah di bawah 3.0 iaitu penambahan dua sekolah berbanding tahun lalu," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 71 sekolah melepasi pencapaian Gred Purata Negeri (GPN) 4.77 daripada 196 sekolah kategori A.

Katanya, Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) matematik menunjukkan peningkatan tertinggi antara semua mata pelajaran iaitu sebanyak 0.27 peratus daripada 5.86 kepada 5.59.

"Bagi mata pelajaran elektif Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Sains Tulen dan Matematik Tambahan, empat mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi.

"Mata pelajaran Biologi menunjukkan peningkatan prestasi tertinggi sebanyak 0.30 mata GPMP iaitu 4.64 mata pada tahun 2023 berbanding 4.94 mata pada tahun 2022 manakala tiada mata pelajaran menunjukkan penurunan prestasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 12:03 PM