Mohamad Abd Wahab (tiga dari kanan) menunjukkan keputusan SPM bagi Kelantan. FOTO Hidayatidayu Razali
Mohamad Abd Wahab (tiga dari kanan) menunjukkan keputusan SPM bagi Kelantan. FOTO Hidayatidayu Razali
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Seramai 404 calon Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Kelantan yang mendapat sekurang-kurangnya A- dan daripada jumlah itu seramai sembilan calon mendapat keputusan semua A+.

Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan dan Perancangan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan Mohamad Abd Wahab berkata, jumlah itu mewakili 2.02 peratus keseluruhan calon sekolah kerajaan pada 2023.

Katanya, ini menunjukkan peningkatan sebanyak 0.7 peratus berbanding 1.32 peratus pada 2022.

"Peratus calon yang layak mendapat sijil bagi Kelantan adalah seramai 18,356 orang atau sebanyak 95.08 peratus daripada keseluruhan jumlah calon yang menduduki peperiksaan adalah 25,812 orang, manakala calon yang mendaftar seramai 26,660 orang.

"Terdapat 58 sekolah mengatasi peratus calon yang layak mendapat sijil peringkat negeri iaitu 95.08 peratus dengan 44 sekolah mencapai kelulusan 100 peratus termasuk 18 sekolah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

"Terdapat 20 sekolah mencapai kelulusan 85 peratus ke atas berbanding 16 sekolah pada 2022," katanya pada sidang media pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2023 di JPN Kelantan di Tunjong di sini, hari ini.

Katanya, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lil Banat, Kota Bharu mencatatkan Gred Purata Sekolah (GPS) terbaik iaitu 1.55 dan 51 sekolah lain turut menunjukkan GPS mengatasi Gred Purata Negeri (GPN).

"GPN tahun 2023 untuk Kelantan ialah 4.72 berbanding 2022 iaitu 4.88. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 0.16 mata.

"Sebanyak 54 mata pelajaran diambil oleh calon. Daripada jumlah itu, 27 mata pelajaran yang ditawarkan mencapai kelulusan 100 peratus," katanya.

Menurutnya, terdapat 37 mata pelajaran yang menunjukkan peningkatan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) termasuk Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik dan Sains.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 11:37 AM