PENGARAH Pendidikan Negeri Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Maznah Abu Bakar bercakap ketika sidang media pada majlis pengumuman rasmi keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. FOTO Asyraf Hamzah
PENGARAH Pendidikan Negeri Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Maznah Abu Bakar bercakap ketika sidang media pada majlis pengumuman rasmi keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. FOTO Asyraf Hamzah
Suraya Roslan dan Murnaena Muhammad Nasir


KURANG minat dengan mata pelajaran sejarah terutama dalam kalangan pelajar bukan Melayu antara faktor gred purata mata pelajaran (GPMP) menurun dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL).

Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan WPKL Maznah Abu Bakar berkata, GPMP SPM 2019 bagi subjek sejarah menunjukkan

penurunan 0.19 iaitu 5.02 mata (2019) berbanding 4.83 mata pada 2018.

“Sejarah dan juga subjek Bahasa Melayu adalah mata pelajaran wajib lulus dalam SPM. Alhamdulillah sebelum ini Bahasa Melayu yang juga subjek kritikal di Kuala Lumpur meningkat 0.11 peratus berbanding 2018.

“Kita mengesan faktor kurang minat pada mata pelajaran sejarah dalam kalangan pelajar bukan Melayu mendorong penurunan itu.

“Untuk meningkatkan mata pelajaran itu mesti datang daripada minat dan tidak boleh dilaksanakan bermula tingkatan empat saja,” katanya pada sidang media selepas pengumuman keputusan SPM 2019 peringkat WPKL di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, mata pelajaran Sejarah adalah penting bagi membentuk karakter dan kecintaan kepada negara.

“Saya akan lihat dan menekankan kepada guru untuk mengajar mata pelajaran ini dengan lebih menarik terutama untuk generasi milenial dengan mempelbagaikan pendidikan digital,” katanya.

Maznah berkata, dalam pencapaian SPM 2019, seramai sembilan pelajar memperoleh keputusan cemerlang tertinggi (A+) dalam semua mata pelajaran pada 2019 berbanding 13 pada 2018.

“Selain itu, bilangan calon mendaftar menduduki SPM di WPKL adalah seramai 20,577 berbanding 20,973 pada 2018. Daripada jumlah itu, 15,926 calon sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan, 194 calon sekolah bawah agensi kerajaan selain KPM manakala 2,691 calon sekolah swasta.

“Indeks Gred Purata Negeri (GPN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 2019 mencatatkan 4.86 mata berbanding 2018 iaitu 4.80 mata.

“Kita sedar berlaku sedikit penurunan GPN tahun ini dan saya akan melaksanakan ‘post mortem’ secepat mungkin serta mencari penyelesaian untuk SPM tahun seterusnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2020 @ 2:46 PM