FOTO Sharul Hafiz Zam
FOTO Sharul Hafiz Zam
Norul Awatif Romli


Alor Setar: Seramai 446 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2015 di Kedah memperoleh semua gred A (cemerlang) bagi semua mata pelajaran, menurun sebanyak 38 calon berbanding 484 calon pada tahun 2014.

Pengarah Pendidikan Kedah Datuk Azuyah Hassan berkata, keseluruhan pencapaian itu bagaimanapun memuaskan berdasarkan indeks Gred Purata Nasional (GPN) iaitu 5.15 mata, namun sedikit menurun dengan nilai GPN (Negeri) 5.23 mata berbanding 5.19 pada tahun 2014.

"Seramai 22 calon memperoleh gred A+ dan A (cemerlang tertinggi) bagi semua mata pelajaran diduduki, manakala hanya 12 buah sekolah mendapat Gred Purata Sekolah (GPS) bawah tiga mata.

"Berdasarkan GPN (Negeri) pencapaian calon bandar lebih baik iaitu 5.15 mata pada 2014 kepada 5.12 tahun 2015. Pencapaian calon luar bandar juga lebih baik iaitu daripada 5.55 mata (2014) kepada 5.52 mata (2015)," katanya.

Katanya, analisis keputusan SPM 2015 di Kedah juga menunjukkan peningkatan pencapaian keseluruhan calon luar bandar dan bandar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2016 @ 11:16 AM