Oleh Mohamad Hussin

Alor Setar: Seramai 484 (1.56 peratus) calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014 di Kedah berjaya memperoleh keputusan cemerlang (Gred A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran diduduki berbanding 662 (2.04 peratus) calon pada tahun 2013.

Pengarah Pelajaran Kedah Datin Azuyah Hassan berkata, pencapaian calon SPM luar bandar menunjukkan peningkatan Gred Purata Nasional (GPN) sebanyak 0.18 mata kepada 5.55 mata pada tahun 2014 berbanding 5.73 pada 2013.

Katanya, calon bandar menunjukkan penurunan sebanyak 0.04 mata iaitu 5.15 mata pada 2014 berbanding 5.11 mata pada tahun 2013.

"Pencapaian calon cemerlang pada tahun 2014 menunjukkan penurunan sebanyak 0.48 peratus iaitu daripada 484 calon (1.56 peratus) sekolah dibawah Kementerian Pendidikan (KPM) memperoleh gred A (Cemerlang) bagi semua mata pelajaran berbanding 622 calon (2.04 peratus) pada 2013.

"Pencapaian keseluruhanan calon SPM 2014 menurun dengan nilai GPN 5.19 mata berbanding 5.04 mata pada 2013 iaitu menurun sebanyak 0.15 mata," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2015 @ 1:59 PM