Pelajar Cemerlang, Danial Khan Syahiran Zairi menerima slip keputusan peperiksaan SPM 2022 daripada Timbalan Pengarah Pendidikan Kuala Lumpur, Zalina Mohd Tahir di Sekolah SMK Agama MAIWP, Cheras. FOTO GENES GULITAH
Pelajar Cemerlang, Danial Khan Syahiran Zairi menerima slip keputusan peperiksaan SPM 2022 daripada Timbalan Pengarah Pendidikan Kuala Lumpur, Zalina Mohd Tahir di Sekolah SMK Agama MAIWP, Cheras. FOTO GENES GULITAH
BERNAMA

Kuala Lumpur: Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 di negeri-negeri, rata-rata menunjukkan peningkatan pada indeks Gred Purata Negeri (GPN) dengan peningkatan calon yang mendapat keputusan cemerlang (gred A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran.

Di Kuala Lumpur, seramai 15,102 calon telah menduduki sijil SPM, dan 17 calon memperoleh keputusan A+ dalam semua mata pelajaran manakala 501 calon atau 3.32 peratus memperoleh minimum A- dalam semua mata pelajaran.

Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) Dr Zalina Mohd Tahir berkata indeks Gred Purata Negeri (GPN) Wilayah Persekutuan pada 2022 adalah 4.75 mata.

Di Selangor, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor Dr Jafri Abu mengumumkan keputusan GPN 2022 untuk negeri itu adalah 4.80, iaitu 0.07 mata lebih baik berbanding tahun sebelumnya iaitu 4.87.

Katanya daripada 65,583 calon yang menduduki peperiksaan SPM, seramai 1,860 calon (2.94 peratus) memperoleh keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran berbanding 1,803 calon (2.77 peratus) pada 2021 iaitu peningkatan sebanyak 57 calon (0.17 peratus).

Di Negeri Sembilan, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan negeri, Dr Roslan Hussin berkata pencapaian calon SPM tahun 2022 di negeri ini lebih baik iaitu GPN 4.50 berbanding GPN 4.62 pencapaian tahun sebelumnya.

Katanya seramai 14,862 calon SPM berdaftar di negeri itu dan daripada jumlah itu, 533 calon memperoleh keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran berbanding 512 calon pada tahun sebelumnya.

Gred purata sekolah (GPS) terbaik di negeri ini adalah Kolej Tunku Kurshiah dengan catatan GPS 1.12, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Dato' Haji Abu Hassan Haji Sail (GPS 1.59) dan SMK King George V (GPS 2.37).

Di Perak, Pengarah Pendidikan Negeri Perak Mohamad Fauzi Mahson berkata daripada 27,609 calon yang menduduki peperiksaan itu, seramai 669 calon (2.42 peratus) memperoleh keputusan cemerlang serta memaklumkan bahawa keputusan GPN 4.92 merekodkan peningkatan 0.4 peratus berbanding 4.96 pada tahun 2021.

"Seramai 13 calon mencapai semua A+ dan 14,760 calon lulus semua mata pelajaran. Bagi jumlah calon yang layak mendapat sijil pula seramai 24,877 calon atau 90.10 peratus, peningkatan 4.39 peratus atau 179 calon berbanding tahun 2021," katanya.

Di Pahang, Pengarah Pendidikan negeri Mohammad Rosli Abdul Rahman berkata pencapaian SPM 2022 yang melibatkan keseluruhan 17,567 calon berdaftar adalah yang terbaik dalam tempoh lima tahun, dengan Gred Purata Negeri (GPN) adalah 4.57 berbanding 4.74 pada tahun 2021, 4.63 (2020), 4.71 (2019) dan 4.73 (2018).

Daripada jumlah semua calon, seramai 15,553 calon atau 93.11 peratus layak menerima sijil dengan lapan calon mendapat semua A+ manakala 389 calon lagi memperoleh semua A bagi mata pelajaran yang diambil.

Seramai 15 calon daripada 112 Calon Berkeperluan Khas (CBK) pula memperoleh keputusan cemerlang iaitu sekurang-kurangnya 5A manakala 35 daripada 729 calon Orang Asli juga mencatatkan keputusan cemerlang pada peperiksaan itu.

Di Johor, Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) Anuar Sukiran seramai 1,129 orang calon SPM memperoleh keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran yang diduduki dan pencapaian itu merupakan yang terbaik dalam tempoh lima tahun dengan indeks GPN ialah 4.59, meningkat 0.16 mata berbanding 4.75 pada tahun 2021.

Anuar berkata seramai 20 calon SPM di negeri itu pula memperoleh pencapaian cemerlang iaitu A+ bagi semua mata pelajaran dan bilangan calon sekolah yang mendaftar di negeri Johor untuk menduduki peperiksaan SPM tahun 2022 adalah seramai 42,795 calon berbanding 50,330 calon pada tahun 2021.

Di Terengganu, seramai 333 daripada 18,747 atau 2.07 peratus calon yang menduduki SPM memperoleh keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran dan pencapaian keseluruhan prestasi GPN yang semakin baik iaitu daripada 4.72 pada 2021 kepada 4.59 bagi 2022.

Pada majlis Pengumuman Keputusan SPM 2022 Terengganu itu, Focal Person Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Kebangsaan Negeri Terengganu, Mohamad Rofaat Khamid turut mengumumkan pemberian insentif sebanyak RM1,000 kepada enam calon SPM yang mendapat gred semua A+.

Di Kelantan, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jabatan Pendidikan Negeri Mohamad Ab Wahab berkata negeri itu mencatat GPN 4.88 bagi keputusan SPM tahun lepas.

Beliau berkata seramai lapan calon mendapat A+ dan seramai 271 calon mendapat sekurang-kurangnya A- bagi semua mata pelajaran yang diambil sekali gus mewakili 1.32 peratus keseluruhan calon sekolah kerajaan pada tahun 2022.

Di Kedah, seramai 15 calon SPM 2022 berjaya memperoleh pencapaian paling cemerlang iaitu A+ dan A bagi semua mata pelajaran yang diduduki dengan pencapaian keseluruhan tahun ini berdasarkan GPN ialah 4.98 peratus berbanding 5.14 peratus pada 2021, meningkat sebanyak 0.16 peratus.

Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) yang juga pemangku Pengarah Pendidikan Kedah Ismail Othman berkata mereka merupakan antara 441 (1.81 peratus) calon sekolah kerajaan daripada keseluruhan 29,745 calon SPM 2022 di Kedah yang berjaya memperoleh semua gred A bagi semua mata pelajaran.

"Tidak ketinggalan, terdapat seramai lima calon istimewa yang turut memperoleh pencapaian cemerlang, masing-masing daripada SMK Sanglang; SMK Dato Bijaya Setia; SMK Tanjung Pauh, Jitra; SMK Kelibang, Langkawi dan SMK Keladi, Kulim," katanya.

Di Pulau Pinang, seramai 15,479 orang daripada 17,692 calon SPM 2022 atau 90.21 peratus layak mendapat sijil dengan prestasi GPN SPM 2022 menunjukkan peningkatan iaitu 4.60 berbanding 4.77 bagi SPM 2021.

Pengarah Pendidikan Negeri Pulau Pinang Abdul Rashid Abdul Samad berkata daripada keseluruhan calon, seramai 19 orang berjaya mendapat semua A+ dalam mata pelajaran yang mereka ambil pada SPM 2022 berbanding 17 orang pada tahun 2021.

"Seramai 688 calon SPM 2022 di Pulau Pinang berjaya mendapat kombinasi A+, A dan A-, ia menunjukkan peningkatan berbanding keputusan sama bagi SPM 2021 iaitu seramai 666 orang mendapat kombinasi pelbagai A," katanya.

Di Sabah, Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan dan Perancangan PPD Jabatan Pendidikan Sabah Mohd Zaini Yanin berkata keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 mencatatkan pencapaian calon yang lebih baik dengan GPN 5.35 pada 2022 berbanding 5.22 pada 2021.

Beliau berkata daripada 34,461 calon yang menduduki SPM, seramai 344 calon (1.0 peratus) memperoleh keputusan cemerlang (gred A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran berbanding 253 calon (0.64 peratus) pada 2021.

"Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 91 calon (0.36 peratus). Bilangan calon yang memperoleh sekurang-kurangnya kepujian atau gred C dalam semua mata pelajaran adalah seramai 3,155 calon (9.16 peratus) pada 2022 berbanding 2,944 calon (8.56%) pada 2021. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 211 calon (0.6 peratus).

Di Sarawak, Pengarah Pendidikan Sarawak Datuk Dr Azhar Ahmad berkata seramai 29,929 pelajar atau 91.22 peratus calon layak menerima sijil dengan seramai 684 calon mendapat gred A bagi kesemua mata pelajaran, manakala GPN pula ialah 5.07.

Beliau turut mengumumkan seramai 132 calon berkeperluan pendidikan khas menduduki SPM dengan 74 atau 56.06 peratus daripadanya layak memperoleh sijil SPM.

Seramai 373,974 calon menduduki SPM 2022 pada 20 Februari hingga 15 Mac 2023 di seluruh negara dan 10,109 calon memperoleh keputusan cemerlang gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran dengan pencapaian lebih baik pada Gred Purata Nasional sebanyak 4.74 berbanding 4.86 pada tahun sebelumnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2023 @ 2:19 PM