Zanariah Abd Mutalib


Kuala Lumpur: Bekas ketua pengarang kumpulan The Star, Datuk Ng Poh Tip, hari ini, meninggal dunia di rumahnya di Subang Jaya pada usia 81 tahun.

Akhbar The Star melaporkan, perkara itu disahkan wartawan veteran, yang bekerja selama hampir 20 tahun dengan mendiang, Michael Aeria.

"Saya menerima berita kematiannya awal hari ini melalui mesej. Mendiang sudah lama tidak sihat dan dua kali mendapat strok sebelum ini serta dimasukkan ke ICU (Unit Rawatan Rapi) selama lebih seminggu," kata Michael, yang juga bekas ketua pengarang kumpulan The Star.

Menyifatkan bekas ketuanya itu sebagai "pengarang paling tenang yang pernah dilihat", Michael berkata, Poh Tip memainkan peranan penting dalam menaikkan akhbar itu.

"Beliau adalah salah satu sebab mengapa jabatan pengarang dapat melakukannya dengan baik. Beliau akan memberi kami ruang untuk berkembang dan mencuba perkara baharu," katanya.

Sementara itu, Penasihat Star Media Group Bhd dan Pengerusi Bernama, Datuk Seri Wong Chun Wai merakamkan penghargaan kepada Poh Tip kerana menerima beliau menyertai semula The Star selepas menamatkan pengajian di universiti pada 1984.

"Saya meninggalkan The Star pada 1980 dan selepas belajar, beliau meminta saya kembali ke The Star sehari selepas saya menduduki peperiksaan akhir," katanya.

Poh Tip memulakan kerjayanya sebagai wartawan pada 1971 dan mencipta sejarah sebagai ketua pengarang kumpulan wanita pertama negara apabila dilantik ke jawatan itu di The Star pada 1993, di mana beliau berkhidmat sehingga 2003.

Mendiang, yang kematian suami 10 tahun lalu, tidak mempunyai anak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 3:49 PM