POH Yuan Nie. FOTO Agensi
POH Yuan Nie. FOTO Agensi
Agensi

Singapura: Polis Antarabangsa (Interpol) mengeluarkan notis amaran berhubung seorang wanita yang disyaki melakukan penipuan peperiksaan di Singapura dengan menggunakan telefon dan fon telinga (earphone) yang diberikan kepada pelajar.

Poh Yuan Nie, 57, disyaki melakukan perbuatan itu bersama tiga rakan sejenayah termasuk bekas teman wanitanya yang sedang menjalani hukuman penjara.

Poh yang juga bekas pengetua sebuah pusat tuisyen tempatan sepatutnya menjalani hukuman penjara empat tahun pada September lalu, tetapi gagal dikesan dan disyaki sudah melarikan diri dari Singapura.

Polis Singapura mengeluarkan waran tangkap terhadap Poh juga dikenali Pony pada November lalu, dan memohon notis merah daripada Interpol pada Disember bagi mendapatkan maklumat mengenai keberadaannya.

Penipuan berlaku pada Oktober 2016 membabitkan tiga peperiksaan kemasukan pengajian tinggi.

Menurut media tempatan, Pusat Pendidikan Zeus Poh dikatakan terbabit menyediakan tuisyen kepada enam pelajar berusia 17 hingga 20 tahun bagi membantu mereka lulus peperiksaan dan memasuki politeknik.

Poh dibayar 8,000 dolar Singapura (kira-kira RM25,845) bagi setiap pelajar serta 1,000 dolar Singapura (kira-kira RM3,230) bagi yuran kemasukan tetapi wang akan dikembalikan, jika mereka tidak lulus.

Pelajar yang menduduki peperiksaan di lokasi berbeza akan dibekalkan fon telinga berwarna seperti warna kulit dan telefon bimbit bersama peranti 'Bluetooth' yang disembunyikan pada pakaian pelajar.

Bekas teman wanita Poh, Tan Jia Yan ketika itu berusia 30 tahun turut menduduki peperiksaan sebagai calon persendirian dan berbuat demikian menggunakan kamera telefon yang dilekatkan pada dadanya menggunakan pita pelekat serta disembunyikan di dalam pakaian.

Tan menyiarkan siaran langsung kertas peperiksaan kepada Poh melalui FaceTime, sementara anak saudaranya, Fiona Poh dan seorang pekerja Feng Riwen, menunggu di pusat tuisyen.

Ketiga-tiga mereka kemudian membuat jawapan sebelum memberikan kepada pelajar melalui fon telinga dan jika mendengar dengan jelas, mereka hanya diam, tetapi perlu batuk jika sebaliknya.

Perbuatan mereka terbongkar apabila seorang penyelia peperiksaan mendengar bunyi transmisi luar biasa daripada salah seorang pelajar yang kemudiannya mengakui dipaksa menipu oleh guru tuisyennya.

Pada 2019, Tan dipenjara tiga tahun atas pertuduhan menipu.

Pada 2020, Poh, anak saudaranya dan Feng disabitkan 27 pertuduhan menipu dengan masing-masing dikenakan hukuman penjara antara dua hingga empat tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2023 @ 11:17 AM