VIOLIN kesayangan Poh yng bernilai RM21,000
VIOLIN kesayangan Poh yng bernilai RM21,000
AFP

Singapura: Alunan gemersik dari viola itu berkumandang sayup-sayup di kawasan perindustrian Defu Lane setiap pagi.

Penggesek viola itu biasanya memainkan lagu cinta klasik The Moon Represents My Heart yang satu ketika dulu dipopularkan oleh penyanyi Taiwan, Teresa Teng.

Kesetiaannya mengalunkan lagu itu mungkin membolehkan Paul Low Tien Poh digelar lelaki paling romantik di Singapura.

Memiliki bengkel kereta Sunrise Auto Services, Low, 52, mula belajar bermain viola sejak empat tahun lalu. Viola tunggal kesayangannya itu bernilai S$6,000 (RM21,000) diperbuat di Itali.

“Saya memberi kejutan kepada isteri saya dengan lagu ini ketika ulang tahun perkahwinan kami yang ke-18,” katanya.

Menurut Poh yang kurang fasih berbahasa Inggeris, dia turut mengusahakan kebun bunga mawar sebagai tanda cinta kepada isteri sejak awal tahun ini.

“Jika saya sentiasa menghadiahkan bunga kepada dia setiap tahun, kenapa tidak saya menanamnya sendiri?” katanya.

Sepanjang 22 tahun perkahwinan mereka, Poh sering melakukan banyak perkara romantik setiap tahun untuk isteri kesayangannya itu.

Poh juga membawa isterinya, Sally Chan, 48, menikmati makan malam di tempat romantik, mengadakan kejutan jamuan dan menganjurkan majlis di gereja setiap kali tarikh ulang tahun perkahwinan mereka tiba. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Disember 2014 @ 5:08 AM