Foto hiasan
Foto hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Bekas pensyarah kerugian RM1,877,000 selepas menjadi mangsa penipuan Macau Scam yang menyamar pegawai sebuah syarikat telekomunikasi.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kuala Lumpur,Superintendan Tan Poh Cheok berkata, pihaknya menerima laporan daripada wanita berusia 80 tahun itu pada 2 November lalu selepas diperdaya sindiket terbabit.

Menurutnya, mangsa mendakwa dia dihubungi oleh individu yang memakumkan dari sebuah syarikat telekomunikasi.

Katanya, individu berkenaan mendakwa terdapat talian atas nama mangsa digunakan untuk aktiviti perjudian dan pengubahan wang haram.

"Mangsa kemudiannya diminta untuk membuat beberapa transaksi secara pindahan berjumlah RM730,000.

"Mangsa turut diminta untuk menyerahkan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

"Selepas itu, mangsa mendapati terdapat transaksi pindahan wang daripada akaunnya berjumlah RM1,877,000," katanya dalam kenyataan hari ini.

Poh Cheok berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu bagi tindakan siasatan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 November 2021 @ 7:02 PM