FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Bersama Sahibus Samahah Prof Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim

Jabatan Mufti Negeri Pahang amat peka dengan isu semasa terutama isu yang rancak melanda dunia masakini iaitu isu boikot. Ia menjadi bualan dan tular mengikut situasi yang berlaku di serata dunia melalui media baharu. Penularannya tidak dapat dihalang atau dikawal disebabkan media baharu menyalurkan maklumat dengan mudah, tanpa had dan tiada sempadan.

  Seluruh umat Islam maklumi Islam adalah agama yang menitik berat terhadap semua perkara sama ada yang kecil, yang besar, keduniaan, akhirat dan tidak terkecuali isu boikot.

  Jabatan Mufti Negeri Pahang menyedari isu boikot telah menjadi isu hangat dan sensitif dibicara dan dibincangkan kerana ia melibatkan pelbagai pihak sama ada yang berkepentingan ataupun tidak.

  Oleh itu, Jabatan Mufti Negeri Pahang mengorak langkah untuk memberikan penjelasan  terhadap isu boikot mengikut lunas ajaran Islam agar ia difahami dengan baik oleh masyarakat Islam khususnya. 

  Sebelum perbincangan lanjut, perlu difahami beberapa istilah/definisi yang berkaitan:

Isu boikot tidak boleh dipisahkan dengan kepentingan ekonomi. Sedikit sebanyak, ia memberi kesan terhadap sesuatu perniagaan malah ia berkait dengan pelbagai rantaian perniagaan hingga menyebabkan kerugian yang besar. Justeru, ia termasuk dalam mafhum hadis dan kaedah fiqh: "Tidak mudarat dan tidak memudaratkan." (Hadis Riwayat Ibn Majah)

  Kaedah ini umum. Ia digunakan dalam semua perkara termasuk isu yang dibincangkan. Maka, isu boikot ini juga termasuk dalam hukum yang perlu dibincangkan mengikut kaedah yang betul dan jelas untuk difahami umum.

  Jika dilihat dalam konteks Islam, terdapat beberapa perkara yang perlu difahami dan diteliti sebelum dijatuhkan hukum tertentu. Kaedah fiqh menyebutkan: "Hukum terhadap sesuatu adalah sebahagian daripada maklumat diperolehinya." (Al-Jurjani Al-Ta'rifat)

  Ini bermakna, setiap hukum mestilah memperolehi maklumat lengkap. Hukum dalam sesuatu perkara pula tidak ada lain sama ada wajib, haram, sunat, makruh dan harus. 

Maka dalam hal ini, penelitian terhadap hukum perlulah seseorang itu mempunyai ilmu yang luas dan pemahaman yang betul bagi menentukan hukum bukan berpandukan emosi tanpa dasar ilmu.

  Islam menjunjung prinsip keadilan terhadap umat manusia samada umat Islam mahupun bukan Islam. Begitu juga, Islam menolak kezaliman tanpa mengira siapa yang mencetuskan kezaliman tersebut. Nabi SAW bersabda: "Berikan setiap hak haknya." (Hadis riwayat Al-Bukhari)

  Allah SWT juga berfirman berkenaan kewajipan dalam keadilan: "Dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil." (Surah Al-Nisa': 58)

  Nabi SAW bersabda: "Takuti doa orang yang dizalimi kerana tiada hijab/halangan (doanya) dikabulkan Allah." (Hadis riwayat al-Tirmidhi)

  Melumpuhkan ekonomi musuh. Berdasarkan konsep sadd al-zari'ah iaitu menghalang mudarat yang lebih besar, umat Islam mestilah menyekat jalan yang membolehkan musuh mendapat kekuatan bagi melemahkan dan menghancurkan umat Islam atau membantu perlakuan maksiat. Dalam konteks ini, boikot merupakan sekatan umat Islam terhadap ekonomi musuh Islam agar mereka kurang berkeupayaan untuk menindas umat Islam di serata dunia ini.

  Tidak memberi mudarat kepada umat Islam dan juga tidak pula memudaratkan  rakyat jelata  lain (termasuk bukan Islam) khususnya di Malaysia.  Ini berdasarkan hadis: "Tidak boleh membahayakan diri dan membahayakan orang lain." (Hadis riwayat Ibn Majah) 

  Orang bukan Islam (kafir zimmi) dalam sebuah negara Islam mestilah dilindungi jiwa dan hartanya sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Mumtahanah, ayat 8: "Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak pula mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil."  

  Oleh itu, tindakan memboikot mereka tanpa sebab tertentu dan penelitian berdasarkan ilmu juga boleh menyebabkan berlakunya kezaliman. Apatah lagi tindakan memboikot sesama orang Islam tanpa sebab dan usul periksa yang telus memudaratkan saudara seislam jelas dilarang.

Hukum memboikot tertakluk kepada beberapa perkara:

1. Hukum Wajib:  Jika diarahkan oleh pemerintah Islam atas prinsip yang disebutkan.

2. Hukum harus (mubah): Jika seseorang meyakini atau zan yang kuat (zan ghalib) bahawa wang jualan akan digunakan pada jalan maksiat (jika tidak menzalimi sekalipun). Akan tetapi hal ini berbeza dalam berurusniaga dengan orang bukan Islam kerana ia diharuskan sebagaimana Nabi SAW juga berurusniaga dengan orang bukan Islam. Jadi, kedudukan orang bukan Islam tidaklah boleh dikira sebagai pelaku maksiat seperti orang Islam.

3. Hukum makruh atau haram: sekiranya ia dibina di atas syak dan sangkaan yang lemah (wahm). Atau sekiranya ia memberi mudarat yang lebih besar kepada umat Islam. Justeru, penentuan untuk memboikot perlu berasaskan fakta tepat dan ilmu yang luas bagi meneliti perkara tersebut.

4. Hukum haram: jika sengaja bertindak atau mempengaruhi untuk boikot perniagaan tanpa asas yang kukuh dan bertujuan untuk melumpuhkannya.

Pemboikotan mestilah memenuhi asas kriteria berikut:

1. Melemahkan musuh/ mengelakkan perlakuan maksiat. Restoran syarikat francais tersebut secara langsung membantu musuh atau dijadikan tempat maksiat atau cukainya digunakan untuk menyalurkan secara terus kepada musuh Islam.  Namun, jika restoran syarikat francais yang tiada bantuan kepada musuh secara langsung atau ia bukan tempat penganjuran maksiat atau negara itu menggunakan cukai tersebut untuk umat Islam di negara tersebut juga, maka restoran sebegini tidak seharusnya diboikot. Apatah lagi jika restoran syarikat francais itu juga tidak menjual barangan yang diharamkan (menjual makanan halal dan tiada minuman keras). Kaedahnya, membantu untuk kebaikan bukan menggalak kejahatan.

2. Perimbangan antara kepentingan (maslahah) dan kerugian (mafsadah). Kepentingan (maslahah) yang perlu diperhalusi ialah siapakah yang memiliki restoran, pekerja, pembekal dan penerima manfaat terbesar perniagaan itu? Jika umat Islam merupakan penerima terbesar manfaat tersebut, maka pemboikotan perlu dinilai semula. Bahkan jika pemiliknya seorang bukan Islam sekalipun, syarat-syarat di atas perlu juga dipertimbangkan. Apakah kerugian (mafsadah) daripada pemboikotan tersebut? Kerugiannya (mafsadah) ialah pembekal orang, peniaga, staf hilang pekerjaan yang terdiri daripada orang Islam dan rakyat jelata yang baik, maka pemboikotan juga perlu dinilai semula. Kaedahnya, tiada mudarat dan tidak memudaratkan sesiapa pun.

3. Keharusan mengenakan mudarat ekonomi kepada musuh. Kaedahnya, membantu untuk kebaikan bukan menggalak kejahatan.

4. Tindakan pemboikotan ini hendaklah bertujuan memudaratkan musuh melebihi memudaratkan umat Islam yang terlibat dengan perniagaan tersebut. Memboikot juga tidak memudaratkan umat Islam dan rakyat jelata (termasuk bukan Islam). Kaedahnya, tiada mudarat dan tidak memudaratkan sesiapa pun.

Akhlak ketika pemboikotan

Berikut adalah tatacara pemboikotan yang perlu diteladani oleh seorang Muslim:

1. Pemboikotan oleh pihak pemerintah Islam wajib dipatuhi oleh rakyat jelata. Pihak berkuasa berhak mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang tidak mematuhi perintah tersebut.

2. Pemboikotan secara peribadi pada perkara yang memenuhi syarat di atas (bukan arahan daripada pemerintah), tidak boleh dengan memaksa rakyat. Bantahan kepada pihak yang tidak memboikot bukan dengan penghinaan. Pihak yang tidak memboikot juga hendaklah tidak mempermainkan dan menghina pihak yang memboikot.

3. Tidak boleh menggunakan perbuatan, perkataan yang menghina kepada mana-mana pihak pada pemboikotan yang bukan arahan pemerintah.

4. Pemboikotan tidak dilakukan atas dasar berlainan bangsa dan agama kerana Islam menjaga setiap hak warganegara.

Penulis Mufti Pahang

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Jun 2024 @ 7:03 AM