Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Muhammadi, di sini, hari ini.

Baginda yang memakai jubah putih tiba pada 8.35 pagi sebelum menyertai lebih 3,000 jemaah yang hadir.

Turut mengiringi baginda, Tengku Mahkota Kelantan Dr Tengku Muhammad Faiz Petra, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob serta Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun.

Solat sunat itu diimamkan imam tua Masjid Muhammadi, Hairul Azizi Mokhtar, manakala khutbah dibacakan Mufti Kelantan, Datuk Muhammad Shukri Mohamed.

Khutbah antara lain menyeru umat Islam memafaatkan ketibaan Aidiladha untuk memperbaharui tiga komponen yang paling asas.

Antaranya, menjadikan kehadiran Aidiladha sebagai daya penggerak bagi umat Islam untuk memantapkan akidah Islamiah terhadap Allah SWT, mengukuhkan jati diri supaya sanggup berjuang dan berkorban apa sahaja demi kepentingan agama, bangsa, dan negara selain Aidiladha adalah masa terbaik untuk melakukan muhasabah diri bagi mendekatkan diri ke jalan Allah SWT.

Selepas solat, Sultan Muhammad V berangkat meninggalkan perkarangan masjid, 9.30 pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Julai 2022 @ 11:17 AM
SULTAN Muhammad V berkenan berangkat tiba di Masjid Muhammadi untuk menunaikan solat sunat Aidiladha. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
SULTAN Muhammad V berkenan berangkat tiba di Masjid Muhammadi untuk menunaikan solat sunat Aidiladha. FOTO Nik Abdullah Nik Omar