Imam Masjid Negara, Ustaz Amru Alhaz Adnan mengimamkan solat sunat gerhana di Masjid Negara. FOTO Zunnur Al Shafiq
Imam Masjid Negara, Ustaz Amru Alhaz Adnan mengimamkan solat sunat gerhana di Masjid Negara. FOTO Zunnur Al Shafiq
BERNAMA

UMAT Islam di seluruh negara menunaikan solat sunat gerhana atau solat sunat kusuuf di masjid dan surau berikutan fenomena gerhana matahari Anulus (cincin) yang berlaku di Malaysia hari ini.

Kebanyakan mereka melakukan tuntutan sunat muakkad solat sunat gerhana itu secara berjemaah selepas solat Zohor.

Di ibu negara, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menunaikan solat sunat gerhana bersama-sama warga Istana Negara di surau utama selepas menunaikan solat Zohor.

Fenomena alam yang unik itu kali terakhir dilihat di Malaysia 21 tahun lalu di Mersing, Johor.

Hari ini rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan keajaiban alam yang unik dengan jelas, khususnya di dua tempat iaitu di Tanjung Piai, Johor dan Serian, Sarawak manakala di tempat lain menyaksikan fenomena gerhana matahari separa.

Di Selangor, kira-kira 2,000 umat Islam menyempurnakan solat sunat gerhana matahari di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam yang diimamkan Imam Besar Muhammad Farhan Wijaya.

Muhammad Farhan ketika ditemui berkata: “Tujuan ia dilakukan adalah untuk mengingati kebesaran dan kekuasaan Allah SWT, solat sunat dilakukan dua rakaat dengan empat kali rukuk. Selesai solat sunat dibacakan dua khutbah.”

Di Putrajaya, kira-kira 500 jemaah menunaikan solat sunat gerhana matahari di Masjid Putra yang diimamkan Ustaz Shamsul Bahari Dahalan.

Sejurus menunaikan solat sunat, Shamsul Bahari turut menyampaikan khutbah bertajuk ‘Menggali Rahsia Keagungan Allah’ dan antara intipatinya menyentuh mengenai gerhana matahari sebagai bukti kekuasaan Allah SWT.

“Peristiwa gerhana matahari juga menjadi iktibar kepada umat manusia bahawa kita ini adalah kecil dan lemah di sisi Allah SWT. “Peristiwa gerhana ini juga memantapkan dan meneguhkan keimanan jika dihayati dengan baik,” katanya.

Di Johor, kira-kira 450 jemaah menunaikan solat sunat gerhana matahari di Masjid Sultan Abu Bakar di Johor Bahru.

Solat dilakukan pada 11.50 pagi dengan diimamkan imam masjid itu, Mohd Zaidi Saman.

“Alhamdulillah, solat ini disambut baik hadirin. Antara intipati khutbah adalah gerhana ini menunjukkan kebesaran Allah SWT dan memastikan setiap umat Islam sentiasa mengingati kebesaran Tuhan,” katanya.

Di Negeri Sembilan, Imam Eksekutif Masjid Negeri Ustaz Hazmi Adb Kadir dalam khutbah khas bertajuk ‘Fenomena Gerhana Bukti Kekuasaan Ilahi’ berkata, gerhana adalah suatu perubahan, kejadian, keagungan, kebesaran dan kekuasaan Allah SWT dan bukanlah suatu tanda yang mengaitkan kejadiannya dengan kelahiran dan kematian seseorang.

Beliau berkata, Islam menggalakkan umatnya berterusan memuji kebesaran dan kekuasaan Illahi dan Rasulullah SAW menganjurkan supaya bersegera melakukan kebaikan seperti solat sunat gerhana, berzikir, beristighfar, berdoa dan bersedekah.

“Hindarilah kemaksiatan dan kemungkaran yang membawa kepada perbuatan syirik.

“Semoga fenomena gerhana yang berlaku ini akan menimbulkan keinsafan dan meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah,” katanya kepada 200 jemaah usai solat sunat gerhana matahari di sini.

Di Perak, kira-kira 500 orang menunaikan solat sunat gerhana matahari peringkat negeri anjuran Jabatan Mufti Perak di Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri Perak) di Ipoh selepas solat Zohor yang diimamkan Imam Besar Masjid Negeri Perak, Abd Farid Salleh.

Orang ramai turut mengambil peluang menyaksikan bayangan gerhana matahari separa menggunakan ‘Frame Solar Eclipse Filter’ yang disediakan pelajar Unit Geometik Jabatan Kejuruteraan Awam Politeknik Ungku Omar di Dataran Selera Dataran Dato’ Sagor di sini.

Di Kangar, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin meminta umat Islam memperbanyakkan mohon keampunan.

Beliau berkata, fenomena yang jarang berlaku itu menunjukkan bahawa dunia sedang mengalami tanda-tanda akhir zaman.

“Berdasarkan hadis Rasulullah Muhammad SAW, antara tanda-tanda kiamat apabila matahari dan bulan bergerak daripada kedudukannya dan umat Islam diingatkan agar mengelakkan berfikiran khurafat dan tahyul selain memperbanyakkan berdoa,” katanya ditemui selepas memberi khutbah khas sempena gerhana matahari itu di Masjid Alwi, Kangar.

Khutbah khas gerhana itu dihadiri kira-kira 700 jemaah selepas menunaikan solat gerhana yang diimamkan pensyarah Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Sheikh Soleh Abdul Naser.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Disember 2019 @ 5:44 PM