ANTARA wakil rakyat Bersatu Terengganu yang menandatangani akujanji setia kepada parti hari ini. FOTO Baharom Bakar
ANTARA wakil rakyat Bersatu Terengganu yang menandatangani akujanji setia kepada parti hari ini. FOTO Baharom Bakar
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Enam wakil rakyat termasuk seorang Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) sudah menandatangani surat sokongan tidak menyokong parti dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) hari ini.

Majlis menandatangani surat sokongan tanpa berbelah bagi dan akujanji untuk tidak menyokong dengan pimpinan parti lawan itu diketuai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Razali Idris.

Selain Razali yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Kijal turut menandatangani surat itu ialah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid.

Empat lagi wakil rakyat Bersatu yang menandatangani akujanji itu ialah Adun Seberang Takir, Khazan Che Mat, Mohd Yusop Majid (Permaisuri) dan Mohd Husaimi Hussin (Hulu Besut) dan Mohd Zawawi Ismail (Telemong).

Majlis menandatangani surat akujanji sokongan tanpa berbelah bagi kepada parti itu disaksikan Khazan yang juga Setiausaha Bersatu negeri.

Razali yang juga Ketua Penerangan Bersatu berkata, semua Ahli Parlimen, Adun dan Ahli Dewan Negara diberi tempoh selama 14 hari untuk menandatangani surat akujanji yang dihantar oleh Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Katanya, antara kandungan dalam surat akujanji yang perlu ditandatangani semua Ahli Parlimen, Ahli Dewan Negara dan Adun daripada Bersatu adalah setia kepada parti dengan mendukung dasar, matlamat dan tujuan parti.

"Setiap wakil rakyat parti juga perlu mengetahui bahawa kepimpinan Bersatu membuat ketetapan tidak menyokong atau menyertai kerajaan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

"Bersatu juga membuat ketetapan tidak menyokong Menteri Besar dan Ketua Menteri, atau menyertai kerajaan negeri yang tidak dipersetujui parti," katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Badan Pimpinan negeri, di sini, hari ini.

Razali yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri berkata, surat akujanji itu dikeluarkan dan perlu ditandatangani semua wakil rakyat parti selaras dengan perlembagaan bagi mengelakkan dihukum mengikut Akta Lompat Parti.

"Berdasarkan pindaan perlembagaan parti, mereka yang tidak setuju dan enggan menandatangani surat akujanji itu akan terhenti keahlian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 10:56 AM