Razali Idris.
Razali Idris.
Oleh Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Tujuh ahli Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi peluang menetapkan pendirian, walaupun keahlian mereka gugur secara automatik berkuat kuasa Ahad lalu.

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris berkata, enam Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) diberi peluang menetapkan pendirian semula, sebelum tindakan pengguguran sebagai keahlian dilakukan.

Katanya, Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin akan menghantar surat kepada tujuh Ahli Parlimen dan seorang ADUN terbabit.

"Mereka diberi tempoh untuk menyatakan pendirian, jika tetap menyokong Anwar, keahlian akan gugur secara automatik seperti pindaan Perlembagaan parti yang diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS)," katanya.

Semalam, Ketua Armada BERSATU, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, dilaporkan berkata RoS sudah meluluskan pindaan Perlembagaan parti bagi membolehkan langkah seterusnya untuk mengosongkan enam kerusi Parlimen, sekali gus diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK).

Pada 2 Mac lalu, BERSATU meluluskan pindaan Perlembagaan yang akan melucutkan serta-merta keahlian wakil rakyatnya jika menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.

Keputusan itu dibuat pada Perhimpunan Agung Luar Biasa (EGM) parti, selepas enam Ahli Parlimen parti itu mengisytiharkan menyokong Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun.

Mereka adalah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Pada 7 Mac lalu, ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari turut mengumumkan memberi dukungan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Razali yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (AMPT) BERSATU berkata berdasarkan pindaan Perlembagaan diluluskan RoS, keahlian enam ahli parlimen dan ADUN itu secara automatik gugur.

Bagaimanapun katanya, Presiden Parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan persetujuan MPT memutuskan untuk memberi peluang kepada mereka menetapkan pendirian secara rasmi.

"Jika enam Ahli Parlimen dan ADUN itu tetap dengan pendirian untuk terus menyokong Anwar, keahlian mereka akan gugur, tetapi kita masih memberi peluang.

"Kita parti yang mengamalkan sikap bertimbang rasa, tidak akan mengambil tindakan tergesa-gesa, sebaliknya masih memberi peluang kepada mana-mana ahli parti untuk kembali menyokong perjuangan parti," katanya.

Mengenai tindakan seterusnya, Razali yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU negeri, berkata tindakan susulan akan dilakukan selepas menerima maklum balas daripada enam Ahli Parlimen dan ADUN berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2024 @ 12:26 PM