RAZALI ketika ditemui di kediamannya hari ini. FOTO Baharom Bakar
RAZALI ketika ditemui di kediamannya hari ini. FOTO Baharom Bakar
Baharom Bakar


Marang: Pas dan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) negeri memutuskan semua calon akan bertanding atas tiket Pas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri, Datuk Razali Idris berkata, semua calon yang dipilih untuk bertanding akan menggunakan logo Pas.

"Kita bersetuju dan mencapai kesepakatan bahawa tiada kerusi DUN untuk Bersatu, sebaliknya semua calon akan bertanding atas tiket Pas di bawah payung Perikatan Nasional (PN).

"Dengan persetujuan itu, semua calon daripada Bersatu akan bertanding atas tiket Pas," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Gong Merawang, di sini, hari ini.

Razali yang juga Ketua Penerangan Bersatu berkata demikian ketika diminta mengulas jumlah kerusi diperolehi Bersatu untuk bertanding pada PRN negeri yang dijangka Ogos depan.

Terengganu mempunyai 32 kerusi DUN dan 10 kerusi dimenangi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Kerusi dimenangi BN ialah DUN Jertih, Kuala Besut, Hulu Besut, Permaisuri, Langkap, Batu Rakit, Seberang Takir, Telemong, Bukit Besi dan Kijal.

Ketika mengulas mengenai jumlah calon daripada parti itu, Razali berkata, perbincangan mengenainya belum dimuktamadkan.

Razali yang juga Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Bersatu enggan mengulas lanjut tarikh perbincangan pengagihan kerusi, tetapi mengakui rundingan berjalan lancar dan tiada perselisihan faham serta pertindihan berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Jun 2023 @ 7:13 PM