MOHD Azizi Abu Naim. FOTO arkib NSTP
MOHD Azizi Abu Naim. FOTO arkib NSTP
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim tidak akan sesekali mengosongkan kerusi walaupun diarahkan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk berbuat sedemikian.

Mohd Azizi berkata, parti berkenaan termasuk Ketua Penerangan Datuk Razali Idris tiada hak untuk mengarahkan dia dan enam yang lain mengosongkan kerusi.

"Hanya Speaker sahaja yang mempunyai kuasa untuk mengarahkan saya dan rakan-rakan yang lain mengosongkan kerusi.

"Itu pun arahan pengosongan kerusi hanya dibuat disebabkan tiga faktor iaitu wakil rakyat kerusi berkenaan meninggal dunia, gila atau bankrap.

"Untuk kes kami, kami hanya menyokong kerajaan bukannya individu tertentu. Justeru, tiada sebab saya dan rakan-rakan perlu mengosongkan kerusi hanya disebabkan arahan parti," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Azizi berkata, kenyataan Razali hanya sekadar mahu meraih populariti.

"Apapun sehingga hari ini saya tidak menerima sebarang notis daripada parti. Bukan saya saja, rakan-rakan yang lain pun sama.

"Apa yang saya mahu fokus sekarang adalah bekerja untuk rakyat. Saya tidak mahu melayan sebarang kenyataan yang boleh merugikan masa kerana ini masa untuk saya bekerja," katanya.

Media sebelum ini melaporkan keahlian enam Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bersatu yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tergugur secara automatik dan perlu mengosongkan kerusi masing-masing.

Razali dilaporkan berkata, mereka tidak perlu menunggu surat pemecatan, sebaliknya keahlian tergugur selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meluluskan usul pindaan perlembagaan parti itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2024 @ 1:27 PM