BUAYA tembaga yang berjaya ditangkap oleh anggota APM Kota Kinabalu bersama penduduk Kampung Lok Baru, di Pulau Gaya. FOTO Mohd Adam Arinin
BUAYA tembaga yang berjaya ditangkap oleh anggota APM Kota Kinabalu bersama penduduk Kampung Lok Baru, di Pulau Gaya. FOTO Mohd Adam Arinin
Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Seekor buaya berukuran lebih tiga meter berjaya ditangkap selepas cuba menyerang seorang kanak-kanak di perairan Kampung Lok Baru, Pulau Gaya, di sini.

Reptilia seberat kira-kira 200 kilogram itu ditangkap penduduk kampung menggunakan kaedah jerut kira-kira jam 4 petang semalam.

Pegawai Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Kinabalu, Leftenen (PA) Ezra Daniel Gandui berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kes kemunculan buaya di kampung berkenaan.

"Susulan itu, lapan anggota termasuk tiga pegawai yang bertugas di Menara Penyelamat Pantai (MPP) Tanjung Aru digerakkan ke lokasi di Kampung Lok Baru, Pulau Gaya.

"Setiba di lokasi, seekor buaya tembaga didapati berjaya ditangkap oleh penduduk kampung menggunakan kaedah jerut.

"Buaya sepanjang lebih tiga meter dan berat hampir 200 kilogram diikat oleh anggota APM sebelum dibawa ke MPP Tanjung Aru menggunakan bot," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Ezra berkata, kehadiran buaya itu disedari oleh seorang kanak-kanak yang sedang mandi laut di Kampung Lok Baru.

"Buaya itu dikatakan cuba menyerang kanak-kanak terbabit namun dia sempat menyelamatkan diri naik ke darat dan memaklumkan kepada penduduk kampung.

"Hampir sejam penduduk kampung mencari dan akhirnya buaya itu berjaya ditangkap sebelum diserahkan kepada APM," katanya.

Menurutnya, buaya itu tiba di MPP Tanjung Aru, kira-kira jam 7.05 malam semalam sebelum diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah.

Sementara itu, beliau turut menasihati pengunjung di pantai Tanjung Aru supaya lebih berwaspada ketika berada di sekitar kawasan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 7:29 AM