KAKITANGAN JHL Lahad Datu menjalankan pemeriksaan ke atas buaya yang ditembak di Kampung Remang, Lahad Datu. FOTO Ihsan JHL
KAKITANGAN JHL Lahad Datu menjalankan pemeriksaan ke atas buaya yang ditembak di Kampung Remang, Lahad Datu. FOTO Ihsan JHL
Juwan Riduan

Lahad Datu: Seekor lagi buaya ditangkap sebelum ditembak mati pihak berkuasa di Kampung Remang, di sini, malam tadi.

Reptilia sepanjang 4.8 meter dan lebar kira-kira satu meter itu ditemukan di belakang rumah penduduk kampung berkenaan.

Pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Lahad Datu, Silvester Saimin berkata, bertindak atas aduan kehadiran reptilia itu, sepasukan kakitangan JHL Lahad Datu bergegas ke lokasi.

Katanya, hasil pemantauan, terdapat seekor buaya di belakang rumah penduduk Kampung Remang.

"Sebanyak lapan das tembakan dilepaskan pada jam 10.37 malam.

"Semua tembakan itu mengenai buaya berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, buaya tembaga jantan itu berukuran panjang 4.8 meter dan lebar kira-kira satu meter.

"Bangkai buaya itu dibawa ke perumahan JHL Lahad Datu untuk dilupuskan.

"Buaya ini hampir sama dengan saiz buaya yang turut ditembak mati di Kampung Desa Bajau, Isnin lalu," katanya.

Isnin lalu, seekor buaya seberat lebih 1.2 tan ditangkap sebelum ditembak pihak berkuasa di Kampung Desa Bajau.

Sebanyak tujuh das tembakan dilepaskan termasuk di kepala menyebabkan reptilia sepanjang hampir lima meter itu mati.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2023 @ 3:10 PM