Nuraliawati Sabri


Jasin: Seekor buaya tembaga sepanjang kira-kira 1.5 meter yang tersangkut pada jaring menggemparkan penduduk di Jeti Nelayan Pantai Siring, di sini, petang semalam.

Reptilia berkenaan disedari tersangkut pada jaring yang dilabuhkan untuk menangkap ikan sebelum dimaklumkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka.

Pengarah Perhilitan negeri, Mohd Firrdhaus Mahmood berkata, pihaknya menerima aduan pada jam 5.50 petang sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi.

"Operasi menyelamat buaya seberat itu mengambil masa kira-kira dua jam dan berakhir pada 8 malam.

"Buaya tembaga atau Crocodylus Porosus itu kemudian ditangkap dan dibawa naik ke tepi pantai," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Beliau berkata, operasi menyelamat turut dibantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) serta nelayan.

"Buaya tembaga itu kemudian dihantar ke Paya Indah Wetlands, Selangor untuk proses rawatan dan tindakan selanjutnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Jun 2021 @ 10:50 AM