ANGGOTA bomba mengikat bangkai buaya di Rumah Stephen Jugam di Ulu Niah. FOTO Melvin Joni.
ANGGOTA bomba mengikat bangkai buaya di Rumah Stephen Jugam di Ulu Niah. FOTO Melvin Joni.
Melvin Joni


Miri: Penduduk Rumah Stephen Jugam di Ulu Niah di sini terpaksa membunuh seekor buaya yang berada di bawah rumah panjang berkenaan kerana bimbangkan keselamatan penduduk, terutama kanak-kanak.

Buaya sepanjang kira-kira tiga meter itu tinggal di bawah rumah panjang itu sejak dinaiki air beberapa hari lalu.

Reptilia itu turut membaham anjing dan ayam dipelihara penduduk.

Menurut penduduk yang enggan dikenali, buaya seberat dianggarkan seberat 100 kilogram itu dibunuh malam tadi.

"Buaya itu muncul dan tinggal di bawah rumah panjang selepas kampung kami dinaiki air sejak tiga hari lalu.

"Kami menunggu sehingga paras air naik malam tadi, sekali gus membolehkan kami mengesan dan membunuhnya," katanya.

Sementara, Ketua Balai Bomba Batu Niah Rary Benjie berkata, pihaknya menerima panggilan untuk mengeluarkan bangkai buaya itu pada 6.59 pagi.

"Setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati terdapat bangkai seekor buaya di bawah rumah panjang terbabit.

"Bangkai buaya itu kemudian diserahkan ke Perbadanan Hutan Sarawak (SFC)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 November 2021 @ 7:04 PM