ANGGOTA dan pegawai JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJWPKL) memeriksa kenderaan ketika Operasi Bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalanraya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Plaza Tol Jalan Duta, Kuala Lumpur. FOTO Sadiq Sani
ANGGOTA dan pegawai JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJWPKL) memeriksa kenderaan ketika Operasi Bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalanraya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Plaza Tol Jalan Duta, Kuala Lumpur. FOTO Sadiq Sani
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Perjalanan tiga pendatang asing tanpa izin (Pati) dengan sebuah kereta sewa yang dipandu lebih 300 kilometer dari Pulau Pinang ke ibu negara, berakhir selepas mereka dicekup menerusi Operasi Bersepadu di Plaza Tol Duta di sini, semalam.

Pemandu berusia 20-an berkenaan mendakwa menyewa Honda City dinaiki mereka, RM250 sehari, dari seorang individu di ibu negara, kononnya untuk ke Pulau Pinang atas urusan kerja bersama dua rakannya.

Tiga lelaki berasal dari Surabaya, Indonesia berkenaan bekerja sebagai kontraktor pemasangan sistem solar bagaimanapun gagal mengemukakan dokumen diri yang sah.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur, Mohd Zaki Ismail berkata, kereta dinaiki tiga sekawan itu antara 2,512 kenderaan diperiksa menerusi operasi bersepadu berkenaan.

Menurutnya, 416 notis saman dikeluarkan dan 11 kenderaan disita dalam operasi selama tiga jam bermula 8 malam tadi.

"Kesalahan tertinggi membabitkan tiada lesen memandu kompeten sebanyak 144 kes, cermin gelap (87), cukai jalan (46), teknikal (38), nombor pendaftaran (37), insurans (35), lain-lain (16), lampu HID (tujuh), dan tiada lesen vokasional (empat).

"11 kenderaan disita terdiri daripada tiga motosikal dan lapan kereta disita atas pelbagai kesalahan," katanya pada sidang media di lokasi operasi di sini.

Turut hadir, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Rospiagos Taha dan Pengarah Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan.

Menurutnya, operasi bersepadu itu dijalankan bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur.

"Operasi dijalankan dengan kekuatan 143 anggota pelbagai agensi antaranya pegawai dan anggota daripada JPJ seramai 99 serta JSPT lapan orang.

"Turut terbabit, anggota dan pegawai daripada AADK, seramai 18 orang; JIM Kuala Lumpur (10) dan JAS (lapan)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 7:45 AM