Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Seorang penunggang motosikal bertindak berani apabila cuba berpatah balik untuk melarikan diri sebaik menyedari terdapat sekatan jalan raya di Plaza Tol Jalan Duta, di sini, malam kelmarin.

Bagaimanapun, tindakan lelaki berusia 25 tahun itu yang menunggang motosikal dengan lesen memandu tamat tempoh tidak berjaya apabila dia disekat sekumpulan anggota polis dalam operasi itu.

Dalam operasi bersepadu bermula Khamis lalu dan berakhir jam 12 tengah malam semalam, 11,368 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam operasi bersepadu oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman serentak di seluruh negara.

Operasi dijalankan di 11 lokasi di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan membabitkan lima zon iaitu utara, selatan, tengah A dan B termasuk Lebuhaya Pantai Timur (LPT).

Ketua Penolong Penguatkuasa JSPT Bukit Aman Superintendan Mustafa Bakri Salleh berkata, operasi diadakan bagi mendidik pengguna jalan raya mematuhi peraturan lalu lintas.

“Dalam operasi ini, fokus diberikan kepada penunggang motosikal selain tindakan penguatkuasaan terhadap mereka yang memandu melebihi had laju, pemeriksaan kenderaan perdagangan, op lampu isyarat dan op mabuk serta kesalahan lain.

“Secara keseluruhan, 12,402 kenderaan diperiksa sepanjang tiga hari operasi dan mengeluarkan 11,368 saman dengan kebanyakannya membabitkan kesalahan memandu melebihi had laju,” katanya ketika meninjau operasi di Plaza Tol Jalan Duta, di sini, malam kelmarin.

Operasi berkenaan turut disertai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta dibantu syarikat konsesi PLUS dengan kekuatan keseluruhan 580 pegawai dan anggota.

Mustafa berkata, 23 individu ditahan AADK selepas saringan ujian air kencing didapati positif dadah membabitkan 14 pemandu lori, lapan penunggang motosikal dan seorang kelindan lori.

Katanya, tangkapan dadah turut dibuat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) ke atas 11 individu iaitu pemandu kereta (lapan), pemandu lori (dua) dan seorang pemandu pikap.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2017 @ 10:56 AM
Anggota polis trafik memeriksa sebahagian penunggang motosikal ketika Op Bersepadu Had Laju dan Pelbagai di Plaza Tol Jalan Duta.
Anggota polis trafik memeriksa sebahagian penunggang motosikal ketika Op Bersepadu Had Laju dan Pelbagai di Plaza Tol Jalan Duta.