RAMLI, gambar fail. FOTO NSTP
RAMLI, gambar fail. FOTO NSTP
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Polis berjaya melumpuhkan sindiket 'Trojan Spymax' dengan tertangkapnya dua lelaki tempatan yang berperanan sebagai pengurus pelayar internet di sekitar Johor dan Pulau Pinang kelmarin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kedua-dua suspek berusia 27 dan 48 tahun dipercayai terbabit secara langsung dengan sindiket yang giat menipu di rantau Asia terutama Singapura.

"Dua suspek terbabit berperanan sebagai penjual perisian hasad (malware) dan pengurus sewaan pelayar yang menempatkan fail kit pakej android (APK) berkenaan.

"Mangsa yang berminat untuk membeli produk akan diberikan fail APK (aplikasi hasad) berkenaan untuk dipasang (install) ke telefon pintar mereka sebagai sebahagian proses pembelian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramli berkata, pihak sindiket mampu menggodam dengan mudah mana-mana peranti yang dipasang dengan aplikasi hasad berkenaan.

Katanya, aplikasi hasad berkenaan memberi akses kepada pihak sindiket kepada segala maklumat yang berada di dalam telefon pintar mangsa termasuk butiran sensitif seperti maklumat perbankkan.

"Sindiket mampu membawa one time password (kata laluan satu kali) (OTP) pada sistem pesanan ringkas (SMS), mereka juga mampu melihat senarai kenalan pada telefon pintar berkenaan.

"Selain itu mereka juga mampu screen mirroring (duplikasi skrin) dan mempunyai akses secara jarak jauh (remote access) kepada peranti berkenaan," katanya.

Katanya, siasatan mendapati modus operandi sindiket ini adalah mencari mangsa menerusi tawaran jualan produk dan perkhidmatan menerusi platform media sosial.

Menurutnya, tangkapan itu dilakukan hasil kerjasama selama satu tahun antara Polis Diraja Malaysia (PDRM), polis Singapura dan Polis Antarabangsa (Interpol).

Ramli berkata, operasi itu memakan masa satu tahun bagi mengenalpasti, mengumpul, dan mengesahkan data identiti ahli sindiket yang berselindung di sebalik teknologi komputer serta internet dari beberapa negara berbeza.

"Semua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada pihak interpol untuk diekstradisi ke Singapura bagi tujuan pendakwaan.

"Melalui tangkapan ini JSJK percaya ia melumpuhkan infrastruktur dan gerak kerja sindiket malware APK di rantau ini.

"PDRM menasihatkan orang ramai hanya memuat turun dan memasang fail aplikasi telefon pintar hanya melalui platform yang selamat seperti Google Play dan Apple App Store sahaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 11:25 PM