ABIDIN diumumkan sebagai calon PN PRK Sungai Bakap. FOTO Danial Saad
ABIDIN diumumkan sebagai calon PN PRK Sungai Bakap. FOTO Danial Saad
Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: Pengalaman sembilan bulan bekerja bersama bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Bakap Allahyarham Nor Zamri Latiff menjadi satu kelebihan bagi calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail yang akan bertanding mempertahankan kemenangan kerusi itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan diadakan 6 Julai ini.

Abidin, 56, berkata, sehingga kini beliau masih terbayang kenangan pahit dan manis bersama Allahyarham yang mesra disapa 'Abang Zam' sepanjang berkhidmat walaupun dalam tempoh singkat.

Sehubungan itu, katanya beliau mahu meneruskan legasi dan perjuangan Allahyarham sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat kawasan itu.

"Terlalu banyak kenangan pahit dan manis saya bersama arwah Abang Zam yang saya masih terbayang kerana terlalu rapat dengan beliau.

"Insya-Allah dengan pengalaman yang saya ada sepanjang berkhidmat selama sembilan bulan bersama arwah Abang Zam saya akan berusaha untuk mengekalkan kemenangan ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pengisytiharan Calon PRK Sungai Bakap di pekarangan tapak parkir sebuah pasar raya di Bandar Tasek Mutiara, di sini, malam tadi.

Untuk rekod, Abidin yang juga bapa kepada dua anak adalah Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal dan anak tempatan Sungai Bakap.

Beliau yang mendapat pendidikan awal di Sungai Bakap dilahirkan di Kampung Sungai Duri, di sini akan menentang calon Perpaduan Dr Joohari Ariffin yang juga anak tempatan kawasan itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Dun Sungai Bakap pada 6 Julai ini.

Pada PRN Pulau Pinang Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 1:35 AM