Nurul Hidayah Bahaudin


CEMAS melihat kelibat anggota penguat kuasa menyebabkan dua lelaki warga asing melarikan diri ke hutan berhampiran dalam Operasi Bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Plaza Tol Awan Besar, Bukit Jalil, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, dua lelaki terbabit dilihat menaiki lori muatan sampah yang diberhentikan di lokasi untuk pemeriksaan.

Ketika pemeriksaan dilakukan, kedua-dua lelaki terbabit kemudian melarikan diri dengan terjun di kawasan semak berhampiran hutan di lokasi berkenaan dan gagal dikesan anggota penguat kuasa yang mengejar mereka selepas memasuki hutan itu.

Dalam operasi bermula 9 malam itu juga, pihak berkuasa menahan dua lelaki masing-masing berusia 20-an selepas pemeriksaan di dalam kereta dinaiki mereka menemui ganja.

Namun, hasil pemeriksaan lanjut dilakukan seorang daripada mereka dibebaskan selepas ujian urin dilakukan didapati negatif dan dikatakan hanya menumpang kereta milik rakannya itu.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi JPJ Zamakshari Hanipah berkata, 720 kenderaan diperiksa dalam operasi berkenaan yang tamat jam 12 tengah malam tadi.

"Hasil pemeriksaan dilakukan, 191 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk cukai jalan tamat tempoh, tiada lesen memandu, cermin gelap dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi.

"Kami turut menyita tiga kenderaan membabitkan dua motosikal dan satu kereta dalam operasi itu," katanya ketika ditemui di lokasi operasi.

Operasi yang disertai 126 pegawai dan anggota JPJ, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) itu turut dihadiri Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohd Zaki Ismail.

Zamakshari berkata, pihak AADK juga menahan empat lelaki berusia antara 18 hingga 40 tahun yang didapati positif dadah jenis ganja dan methaphetamin dalam operasi itu.

"Pihak JAS dan PUSPAKOM pula masing-masing merekodkan tujuh kes, manakala JSPT pula mencatatkan 49 kes atas pelbagai kesalahan.

"Operasi ini akan dilakukan dari masa ke semasa dalam usaha memastikan pengguna jalan raya patuh peraturan dan membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap individu melakukan kesalahan lalu lintas mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1957 serta Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 melalui kerjasama strategik dengan jabatan lain," katanya.

OPERASI bersepadu di Plaza tol Awan Besar. FOTO Saifullizan Tamadi
OPERASI bersepadu di Plaza tol Awan Besar. FOTO Saifullizan Tamadi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Ogos 2020 @ 11:52 AM