JSPT Bukit Aman menjalankan Op Bersepadu di Plaza Tol Sungai Besi bersama JPJ, AADK dan JAS. FOTO Ihsan PDRM
JSPT Bukit Aman menjalankan Op Bersepadu di Plaza Tol Sungai Besi bersama JPJ, AADK dan JAS. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Saman membabitkan kesalahan nombor plat paling banyak dikeluarkan dalam Op Bersepadu di Plaza Tol Sungai Besi, di sini kelmarin.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Deputi Komisioner Mohd Nasri Omar berkata, pihaknya mengeluarkan keseluruhannya 48 saman dalam operasi jam 9 malam itu.

Menurutnya, operasi yang diketuai Pegawai Turus Zon Tengah B, ASP Amir Che Ya turut dibantu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan PLUS Berhad.

"Polis mengeluarkan sebanyak 48 saman kepada pemandu dan penunggang motosikal atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

"Kesalahan nombor plat adalah paling tinggi iaitu 19, diikuti tiada lesen memandu (9), tidak pamer P (4), cermin sisi (4) dan lain-lain.

"Selain itu, JPJ turut mengeluarkan 77 saman manakala JAS tujuh saman membabitkan empat motosikal serta tiga lori atas kesalahan ekzos bising dan asap hitam," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Pada masa sama, AADK menahan 11 lelaki tempatan berusia lingkungan 20 hingga 35 tahun kerana didapati positif dadah.

Mengulas lanjut katanya, pihaknya menjalankan operasi bagi memastikan undang-undang trafik dipatuhi sekaligus mengurangkan kemalangan jalan raya.

"JSPT komited dalam menjalankan penguatkuasaan bagi memberikan peringatan dan kesedaran kepada pengguna kenderaan agar kita semua kekal selamat semasa berada di atas jalan raya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mei 2023 @ 3:45 PM