MOTOSIKAL jenis Y15 disita selepas ditahan dalam sekatan jalan pada Operasi Bersepadu Khas di Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) berhampiran Bukit Serindit. FOTO Rasul Azli Samad
MOTOSIKAL jenis Y15 disita selepas ditahan dalam sekatan jalan pada Operasi Bersepadu Khas di Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) berhampiran Bukit Serindit. FOTO Rasul Azli Samad
Rizanizam Abdul Hamid


TINDAKAN berani seorang mekanik meredah perjalanan lebih 200 kilometer (KM) menunggang motosikal Yamaha Y15ZR atau ‘Ysuku’ tanpa lesen, berakhir apabila kenderaannya disita malam tadi.

Ketika di tahan dalam operasi bersepadu di Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ), berhampiran Kampung Musai, 11.15 malam itu, penunggang lelaki berusia 22 tahun itu mendakwa dia sedang dalam perjalanan dari rumahnya di Pontian, Johor untuk berjumpa tunangnya di Alor Gajah.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, Muhammad Firdaus Shariff berkata, motosikal berkenaan yang baru tiga minggu dibelinya adalah antara 12 kenderaan disita iaitu 10 motosikal dan kereta serta van yang didapati melakukan pelbagai kesalahan.

“Motosikal ‘Ysuku’ itu terpaksa disita selepas penunggangnya didapati tidak mempunyai lesen motosikal sah selain menggunakan nombor pendaftaran ‘fancy’ dan bersaiz kecil.

“Antara kesalahan lain dilakukan kenderaan lain yang disita adalah tidak mempunyai lesen memandu kompeten (CDL), tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh dan tidak mempunyai insurans,” katanya pada sidang media selepas tamat operasi 12 tengah malam tadi.

Operasi bersepadu itu membabitkan 146 pegawai dan anggota daripada JPJ, Polis Diraja Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka, Jabatan Keselamatan Jalan Raya dan Suruhanjaya Pencegahan Malaysia.

Mengulas lanjut Muhammad Firdaus berkata, dalam operasi besar-besaran itu sebanyak 654 kenderaan telah diperiksa dan 389 saman dikeluarkan JPJ atas pelbagai kesalahan.

“Sebanyak 436 kesalahan dilakukan pengguna jalan raya iaitu kesalahan paling tinggi tidak mempunyai CDL, lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans,” katanya.

Dalam operasi itu, AADK turut menahan dua lelaki berusia 30 dan 35 tahun selepas didapati positif methamphetamine atau syabu selain JIM Melaka menahan dua lelaki Indonesia berusia 30-an yang didapati melakukan kesalahan tinggal lebih masa di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 September 2019 @ 11:07 AM