AZRIN Borhan. FOTO Arkib NSTP
AZRIN Borhan. FOTO Arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin

Kajang: Sebanyak 5,978 notis atas pelbagai kesalahan dikeluarkan dalam Op Patuh Bersepadu yang dijalankan di seluruh Selangor sejak perlaksanaanya bermula pada 1 November lalu sehingga semalam.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, sebanyak 11,650 kenderaan terdiri daripada lori, bas, kereta dan motosikal diperiksa dalam operasi berkenaan.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 1,992 kenderaan diambil tindakan dengan 5,978 notis atas pelbagai kesalahan.

"Kesalahan paling tinggi dikesan dalam operasi terbabit adalah kesalahan teknikal yang merekodkan 1,770 notis diikuti kesalahan tiada lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh dengan 1,220 notis.

"Antara alasan diberikan mereka adalah tidak tahu apa yang dilakukan itu seperti ubah suai adalah satu kesalahan sekali gus menunjukkan sikap sambil lewa mereka terhadap undang-undang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengetuai Op Patuh Bersepadu di Plaza Tol Sungai Ramal, di sini, malam tadi, yang turut disertai agensi penguat kuasa yang lain.

Seramai 106 pegawai dan anggota penguat kuasa terdiri daripada JPJ, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) terbabit dalam operasi itu.

Azrin berkata, operasi itu dijalankan di seluruh Selangor selama sebulan bermula 1 hingga 31 November nanti dengan perlaksanaannya memberi fokus kepada empat jenis operasi.

"Ada empat operasi yang kita fokus dalam operasi ini adalah Op Motosikal atau Op Pemandu Warga Asing, Op Kenderaan Perkhidmatan Barangan (KPB) dan Kenderaan Perkhidmatan Awam (KPA) serta Op Lebuhraya, Op Teknikal atau Op Puspakom (Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer).

"Objektif Op Patuh Bersepadu ini dijalankan adalah untuk memaksimumkan pematuhan piawaian teknikal dan keselamatan kenderaan yang digunakan pengendali motosikal serta pemandu kenderaan bagi membudayakan pematuhan undang-undang," katanya.

Beliau berkata, kolaborasi strategik itu yang dijalankan bersepadu dengan agensi lain juga sebagai strategi untuk menerapkan rasa bersalah apabila pemilik atau pemandu kenderaan melakukan kesalahan.

"Ini khususnya berkaitan kesalahan pengubahsuaian pelbagai spesifikasi keselamatan teknikal yang tidak dibenarkan selain tingkah laku pemanduan berisiko atau berbahaya.

"Ini kerana ia adalah punca berlakunya kemalangan yang membawa kepada kematian penunggang atau pembonceng motosikal atau pemandu serta penumpang kenderaan selain pengguna jalan raya lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2023 @ 8:41 AM