FABIAN Huerzeler. FOTO AGENSI
FABIAN Huerzeler. FOTO AGENSI
AFP

London: Fabian Hurzeler menjadi pengurus sepenuh masa termuda kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas Brighton mengumumkan melantik pengendali berusia 31 tahun itu sebagai pengurus baharu mereka.

Hurzeler, yang membimbing St Pauli merangkul kejuaraan divisyen dua Bundesliga Jerman musim lalu, menandatangani kontrak dengan kelab pantai selatan itu sehingga 2027.

Hurzeler kelahiran Texas, kini akan mengetuai skuad Seagulls di mana beberapa pemain, termasuk James Milner, 38, Danny Welbeck, 33, dan Lewis Dunk, 32, kesemunya lebih tua daripadanya.

Tetapi pengerusi Brighton, Tony Bloom berkata, era Hurzeler di St Pauli menjadikannya 'calon paling menonjol' untuk menggantikan Roberto De Zerbi, yang meninggalkan kelab itu pada hujung musim lalu.

Hurzeler akan memulakan tugas baharunya apabila dia menerima permit kerja sebelum skuad Brighton memulakan persiapan pramusim pada bulan depan.

"Dari permulaan proses untuk melantik ketua jurulatih baharu, Fabian sentiasa menjadi calon yang menonjol dan seorang yang telah menarik perhatian kami dengan pencapaian luar biasa beliau di St Pauli sejak 18 bulan lalu," kata Bloom dalam satu kenyataan.

"Dia mempunyai gaya permainan yang sejajar dengan cara kami mahukan dan saya yakin ia adalah salah satu yang akan dihargai oleh penyokong kami," katanya lagi.

Ryan Mason, ketika berusia 29 tahun, adalah bos sementara Tottenham pada 2021 dan jurulatih termuda yang mengetuai pasukan Liga Perdana.

Tetapi Hurzeler adalah pengurus sepenuh masa paling muda sejak pengenalan kepada Liga Perdana pada 1992.

"Kelab ini mempunyai sejarah yang unik dan visi jelas pada masa depan, jadi saya benar-benar teruja untuk menjadi sebahagian daripadanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 1:04 AM