RAKSI Marco Rossi (kanan) ketika memberi arahan kepada Andras Schafer. FOTO REUTERS
RAKSI Marco Rossi (kanan) ketika memberi arahan kepada Andras Schafer. FOTO REUTERS
AFP

Cologne: Marco Rossi menyelar barisan pemain Hungary selepas kempen Euro 2024 mereka bermula dengan kekalahan 1-3 di tangan Switzerland sekali gus memberi amaran mungkin mustahil untuk mengalahkan pasukan pilihan, Jerman pada perlawanan seterusnya.

Skuad bimbingan Rossi gagal mempamer aksi cemerlang seperti ketika pra kejohanan apabila beraksi hambar di Cologne.

Mereka dikejutkan dengan jaringan separuh masa pertama daripada Kwadwo Duah dan Michel Aebischer, yang kedua-duanya menjaringkan gol antarabangsa sulung mereka.

Tandukan Barnabas Varga pada separuh masa kedua memberi harapan kepada Hungary, tetapi Breel Embolo bangkit dari bangku simpanan untuk menjaringkan gol pada masa kecederaan dalam penampilan antarabangsa pertamanya sejak 2022.

"Kami ada salah faham taktikal. Kami tidak mempunyai masa untuk menekan mereka. Separuh masa pertama sangat teruk. Kami terlalu pasif," kata Rossi.

"Switzerland sangat berpengalaman, dengan pemain berkualiti di semua posisi. Menentang pasukan seperti itu di kejohanan ini, anda berdepan risiko melakukan kesilapan. Mereka memanfaatkan sepenuhnya kesilapan yang kami lakukan," katanya lagi.

Rossi bagaimanapun berkata, beliau tidak mahu menyalahkan mana-mana pemain berikutan kekalahan itu.

"Saya jurulatih dan perlu mengambil tanggungjawab ini. Kami mempunyai beberapa kekurangan yang perlu diperbaiki. Tidak banyak strategi yang dilakukan untuk menghentikan lawan.

Kekalahan Hungary menyebabkan mereka ketinggalan tiga mata di belakang tuan rumah, Jerman dan Switzerland di tempat kedua dalam Kumpulan A.

Kekalahan menentang Jerman pada Khamis ini akan memberi tamparan hebat kepada harapan Hungary untuk mara ke pusingan 16 terakhir.

"Kami menentang Jerman dalam tempoh empat hari. Setakat ini ia kelihatan mustahil (untuk menewaskan Jerman)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 12:33 AM