REAKSI Bellingham (tengah) ketika sesi latihan. FOTO AFP
REAKSI Bellingham (tengah) ketika sesi latihan. FOTO AFP
AFP

Gelsenkirchen: Jurulatih Serbia, Dragan Stojkovic percaya menghentikan Jude Bellingham adalah kunci pasukannya untuk mengejutkan England pada aksi pembukaan Euro 2024, awal pagi esok.

Bellingham menyinar pada musim pertamanya di Real Madrid apabila membantu gergasi Sepanyol itu meraih gelaran berganda La Liga dan Liga Juara-Juara.

Pada usia hanya 20 tahun, dia berada di landasan terbaik untuk memenangi anugerah Ballon d'Or sekiranya England menamatkan kemarau memenangi gelaran di kejohanan utama selepas 58 tahun di Jerman.

Stojkovic yakin Bellingham akan dinobatkan sebagai pemain terbaik dunia pada suatu hari nanti.

"Saya rasa dia akan memenangi anugerah itu pada masa depan. Sungguh mengagumkan apa yang dipamerkannya ketika bersama Real Madrid.

"Kami tidak boleh memberinya terlalu banyak ruang atau masa lapang untuk menembusi ruang kami. Dia pemain yang sangat penting untuk pasukannya.

"Ia sangat mengagumkan dan sukar dipercayai melihat seorang yang sangat muda cemerlang ketika beraksi.

"Baik untuk England tetapi buruk untuk kami. Apapun kami akan melakukan yang terbaik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 1:36 AM