AZEEM muncul juara 100m di Stadium Darul Makmur. FOTO Luqman Hakim Zubir
AZEEM muncul juara 100m di Stadium Darul Makmur. FOTO Luqman Hakim Zubir
Asrol Awang


Kuantan: Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi memohon maaf kerana masih belum berjaya mencatat masa memberangsangkan apabila merekodkan 10.43 saat pada final 100 meter pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Stadium Darul Makmur, di sini malam ini. 

Biarpun mendapat tempat pertama, catatan itu tidak melepasi hak kelayakan ditetapkan iaitu 10s untuk layak secara merit ke temasya  sukan terbesar itu pada Julai depan. 

"Namun, saya bersyukur Allah SWT ada perancangan yang terbaik buat saya. Apapun saya bersyukur dapat berlari pada malam ini dan mendapat tempat pertama. 

"Saya juga tahu dan yakin bahawa rakan seperjuangan yang lain akan memberikan saingan sengit seperti Jonatahan Nyepa, Muhammad Haiqal Hanafi dan Hannsen Yap Soon Fu Yap. 

"Alhamdulilah saya juga bersyukur kerana mendapat sokongan daripada semua yang mendoakan saya. Apa yang pasti saya kecewa dengan catatan masa ini dan akan fokus pada Kejohanan Olahraga Terbuka Kazakhstan pada minggu depan (23-24 Jun). 

"Saya harap dapat keputusan terbaik terutama berada pada prestasi lebih baik kerana tidak mendapat rehat secukupnya apabila kembali ke Malaysia dari Amerika Syarikat," katanya. 

Pada final 100m, Azeem dari Perak mencatat masa 10.43s untuk berada di tempat pertama manakala kedua diraih Jonathan yang mewakili Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan catatan 10.54s dan Muhammad Efrain Feezan Khan dari Pahang (10.61s). 

Pada saingan separuh akhir pada sebelah petang tadi, pelari berumur 20 tahun itu mencatat  masa lebih baik iaitu 10.39s. 

Sementara itu, acara 100m wanita dimenenagi pelari pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli yang mewakili ATM selepas mencatat masa 11.79s. 

Tempat kedua diraih atlet Selangor, Nur Afrina Batrisyia Moha dengan catatan masa 11.87s dan Azreen Nabila Alias (12.21s).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 10:38 PM