Lima sekawan termasuk dua pasangan adik beradik dijatuhi hukuman penjara 36 tahun dan 12 sebatan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu atas pertuduhan membunuh seorang lelaki, tujuh tahun lalu. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Lima sekawan termasuk dua pasangan adik beradik dijatuhi hukuman penjara 36 tahun dan 12 sebatan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu atas pertuduhan membunuh seorang lelaki, tujuh tahun lalu. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Lima sekawan termasuk dua pasangan adik beradik dijatuhi hukuman penjara 36 tahun dan 12 sebatan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki, tujuh tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu terhadap Aizz Amidie Aziz, 30; pasangan adik beradik iaitu Mohd Rizalman Awang, 34 dan Zahaman Fairol, 37 serta Mohd Hafify Mat Nawi, 28 dan Mohd Uwais, 29, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Abdul Wahab dalam penghakimannya berkata, pembelaan yang dibuat tertuduh kelima tidak dapat diterima oleh mahkamah kerana tidak memasukkan notis alibi daripada permulaan kes.

Katanya, pembelaan tertuduh pertama hingga empat pula bersifat penafian semata-mata.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Nik Mohamad Sharulanuar Nek Der, 22, di kawasan paya di tanah lapang Kampung Pengkalan Nyireh, Kampung Raja, Besut antara jam 4.40 hingga 5.15 petang pada 21 Jun 2017.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan hukuman tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tertuduh diberikan hukuman pemenjaraan berdasarkan kepada pindaan terkini mengikut Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.

Mahkamah mengarahkan hukuman penjara terhadap setiap tertuduh bermula daripada tarikh tangkap.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amer Abu Bakar Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam dari Tetuan Wan Haron Sukri & Nordin dan Tetuan Hanif & Co.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2024 @ 5:15 PM