FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Penganggur dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini kerana mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 708.4 gram.

Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani membuat keputusan itu di akhir kes pembelaan selepas tertuduh, Mohd Nazirul Amri Mat Jamel, 28, didapati bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 708.4 gram di pekarangan Perhentian Bas Bandar Jerteh, Besut, pada 9 malam, 29 Julai 2020.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dikenakan hukuman mati, tertuduh boleh dikenakan hukuman sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah mengarahkan hukuman penjara terhadap tertuduh bermula daripada tarikh tangkap iaitu pada 29 Julai 2020.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amer Abu Bakar Abdullah dan Mohd Khairuddin Idris, manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Nizam Mohamed.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2024 @ 5:22 PM