Muhammad Jufri dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan tiga sebatan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu selepas didapati bersalah merogol remaja bawah umur berusia 16 tahun. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Muhammad Jufri dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan tiga sebatan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu selepas didapati bersalah merogol remaja bawah umur berusia 16 tahun. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini selepas didapati bersalah merogol remaja bawah umur berusia 16 tahun.

Hakim Nooriah Osman membuat keputusan itu terhadap tertuduh, Muhammad Jufri Imran Sidek, 21, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Tertuduh berdepan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan kerana merogol.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 16 tahun di sebuah bangsal di Merchang, Marang, jam 1 pagi pada 17 Januari 2019.

Tertuduh melakukan kesalahan sama di beranda hadapan rumah di Merchang, Marang masing-masing pada jam 2.30 pagi dan jam 3 pagi pada 23 dan 24 Januari 2019.

Nooriah menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, Nooriah mengarahkan hukuman penjara bagi pertuduhan pertama dijalankan secara berasingan daripada pertuduhan kedua dan ketiga bermula tarikh sabitan iaitu hari ini.

Manakala hukuman penjara bagi pertuduhan kedua dan ketiga dijalankan serentak sebaik sahaja hukuman penjara bagi pertuduhan satu berakhir.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zulfazliah Mahmud manakala tertuduh diwakili peguam daripada Tetuan Nordin Kassim & Aziz.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mac 2021 @ 6:40 PM