Zatul Iffah Zolkiply


DUA beradik dihadapkan ke Mahkamah Majistret Besut, hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang lelaki dalam kejadian tetak pada 21 Jun lalu.

Tertuduh, Mohd Hafify Mat Nawi, 24, dan adiknya, Mohd Uwais, 22, dari Kampung Raja, Besut mengangguk faham ketika pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun yang sama di hadapan Majistret Tuan Ruzuaini Tuan Lah.

Mengikut pertuduhan, dua beradik itu bersama tiga lelaki yang sudah dituduh didakwa membunuh Nik Mohamad Sharulanuar Nek Der, 22, di kawasan paya di tanah lapang Kampung Pengkalan Nyireh, Kampung Raja, Besut antara 4.40 hingga 5.15 petang pada 21 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan sebelum Tuan Ruzuaini menetapkan 13 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nur Zafirah Rosli.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang lelaki maut ditetak sekumpulan lelaki dan lebih memilukan kejadian itu disaksikan abang mangsa dipercayai akibat perselisihan faham.

Dalam kejadian itu, Nik Mohamad Sharulanuar dari Jalan Pantai, Kampung Teluk Bayu, Kuala Besut dikatakan ke kampung itu bersama abang dan seorang rakan untuk berbincang bagi menyelesaikan satu tuduhan yang dibuat terhadap mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2017 @ 9:29 PM