Mohd Zamri menunjukkan gambar dua suspek utama kes tetak. FOTO Mohammad Ishak
Mohd Zamri menunjukkan gambar dua suspek utama kes tetak. FOTO Mohammad Ishak
Mohammad Ishak


DUA beradik yang disyaki suspek utama kejadian seorang pemuda mati ditetak di tapak Pasar Tani Kampung Pengkalan Nyireh, Besut pada 21 Jun lalu ditahan polis di Ipoh dan Taiping, Perak, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, suspek berusia 22 dan 24 tahun masing-masing ditahan di rumah yang menjadi lokasi persembunyian mereka selepas menjadi buruan polis.

Menurutnya, dua beradik terbabit berasal dari Kampung Pengkalan Nyireh direman tujuh hari bermula 12 Ogos lalu bagi membantu siasatan.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kami akan merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya sebelum tindakan selanjutnya diambil," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut, hari ini.

Dalam kejadian 5.15 petang itu, Nik Mohamad Sharulanuar Nek Der, 22, dari Jalan Pantai, Kampung Teluk Bayu di Kuala Besut dikatakan ke kampung berkenaan bersama abang dan seorang rakan untuk berbincang bagi menyelesaikan tuduhan dibuat terhadap mereka.

Mangsa dikatakan dituduh membakar motosikal milik ibu suspek utama pada 19 Jun lalu di rumah wanita berkenaan.

Bagaimanapun, kira-kira 15 orang rakan suspek datang ke rumah itu dan mangsa dikejar.

Ketika cuba melarikan diri, mangsa terjatuh di kawasan semak sebelum ditetak kumpulan lelaki terbabit.

Mohd Zamri berkata, seramai 15 orang sudah ditahan polis termasuk dua beradik berkenaan untuk membantu siasatan.

Katanya, enam daripadanya sudah dibebaskan manakala sembilan lagi kini dalam proses untuk didakwa di mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2017 @ 9:45 PM