Yusry bersama isteri tercinta, Lisa Surihani.
Yusry bersama isteri tercinta, Lisa Surihani.
Oleh Zaara Talita


Kuala Lumpur: Penyanyi dan pengarah, Datuk Yusry Abdul Halim atau Yusry KRU, 51, berpendapat dirinya bukan pakar untuk berkongsi formula atau tips mengekalkan kebahagiaan dalam rumah tangga.

Yusry berkata, berdasarkan pendangan peribadinya menyifatkan sikap toleransi dan komunikasi sesama pasangan penting bagi memastikan keharmonian bahtera perkahwinan.

"Saya bukan pakar untuk berbicara mengenai formula terbaik dalam mengekalkan kebahagiaan dalam rumah tangga.

"Sebenarnya terpulang kepada keserasian. Tak semua formula boleh diaplikasikan dalam setiap bahtera perkahwinan.

"Tidak semestinya, si polan ini menggunakan sesuatu formula itu akan berkekalan sehingga hujung nyawa. Tidak, kerana tiada jaminan dalam perihal itu.

"Pucuk pangkalnya, sama ada serasi atau tidak dengan pasangan. Apabila tidak serasi, itu berbalik kepada toleransi," katanya.

Menurut Yusry lagi, kunci kepada toleransi adalah komunikasi dan perlu sentiasa terbuka meluahkan apa yang terbuku di hati.

"Ini yang mana, kita perlu memberitahu kepada pasangan apa perkara yang disukai dan tidak digemari dalam hubungan.

"Ini adalah asas dalam rumah tangga yang perlu dibuat. Hidup ini bukan saja mengenai diri kita seorang, tetapi membabitkan pasangan juga.

"Bukan saja kita perlu membahagiakan pasangan, sebaliknya pasangan juga perlu membahagiakan diri kita," katanya.

Yusry dan isterinya, pelakon Datin Lisa Surihani, 38, mendirikan rumah tangga pada 23 Februari 2012 dan mereka kini dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Yahaira Leanne, 9, Yusof Leonne, 7, dan Yunos Laith, 3.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 3:14 PM