Naim Daniel
Naim Daniel
Ahmad Hasbi


Nilai: Padah memuat naik komen berbaur ugutan bunuh terhadap ibu bapa kepada pelakon, Naim Daniel, di media sosial, seorang lelaki ditahan di Perak, semalam.

Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, turut dirampas sebuah telefon bimbit bersama suspek yang berusia 24 tahun itu bagi membantu siasatan.

"Rabu lalu, Balai Polis Lenggeng menerima aduan daripada seorang lelaki berusia 26 tahun yang juga seorang selebriti mengenai kejadian berkenaan.

"Berdasarkan laporan, pengadu dipercayai menerima satu ugutan jenayah dari individu yang tidak dikenali di laman sosial kira-kira 9.50 malam 15 Mei lalu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan itu beliau berkata, polis menangkap seorang lelaki berusia 24 tahun di Kamunting, Perak, jam 6 petang semalam untuk siasatan kes ini.

"Turut dirampas adalah sebuah telefon bimbit. Suspek direman selama empat hari mulai hari ini hingga 21 Mei depan untuk siasatan kes ini," katanya.

Katanya, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 iaitu jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya.

"Kertas siasatan juga akan dirujuk ke kamar Timbalan Pendakwa Raya untuk keputusan dalam masa terdekat," katanya.

Terdahulu akhbar ini melaporkan, polis sedang mengesan suspek yang menghantar komen berbaur ugutan bunuh di media sosial terhadap ibu bapa kepada penyanyi dan pelakon, Naim Daniel.

Difahamkan, Naim Daniel dilaporkan mendakwa, dia membuat laporan polis terhadap pengguna akaun media sosial yang menulis komen berbaur ugutan bunuh terhadap ibu bapanya di Balai Polis Semenyih.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 4:35 PM